7 Raja Saul diberitahu bahawa Daud sudah pergi ke Kehila, lalu Raja Saul berkata dalam hati, “Sekarang Allah telah menyerahkan Daud ke dalam tanganku. Daud sudah terperangkap kerana masuk ke dalam kota yang bertembok dan mempunyai pintu gerbang yang berpalang.”
8 Oleh itu Raja Saul mengerah tenteranya dan berangkat ke Kehila untuk mengepung Daud bersama dengan semua anak buahnya.
9 Apabila Daud mendengar bahawa Raja Saul berniat untuk menyerang dia, dia berkata kepada Imam Abyatar, “Bawalah efod itu ke mari.”
10 Kemudian Daud berdoa, “Ya TUHAN, Allah Israel, aku sudah mendengar bahawa Raja Saul bercadang datang ke Kehila dan memusnahkan kota ini kerana aku, hamba-Mu.
11 Adakah penduduk Kehila akan menyerahkan aku kepada Raja Saul? Benarkah Raja Saul akan datang sebagaimana yang aku dengar? Ya TUHAN, Allah Israel, aku mohon, jawablah aku!”TUHAN menjawab, “Ya, Raja Saul akan datang.”
12 Daud bertanya lagi, “Adakah penduduk Kehila akan menyerahkan aku dan anak buahku kepada Raja Saul?”TUHAN menjawab, “Ya.”
13 Oleh itu Daud serta anak buahnya, kira-kira enam ratus orang, segera meninggalkan Kehila dan mengembara dari satu tempat ke tempat yang lain. Apabila Raja Saul mendengar bahawa Daud sudah pergi dari Kehila, baginda membatalkan rancangannya.