13 Semoga TUHAN memutuskan siapa yang bersalah, hamba atau tuanku. Kiranya TUHAN membalas perbuatan tuanku terhadap hamba, namun hamba tidak akan menyakiti tuanku sedikit pun.
14 Tuanku tahu pepatah lama ini, ‘Kejahatan hanya dilakukan oleh orang jahat.’ Oleh sebab itu hamba tidak akan menyakiti tuanku.
15 Perhatikanlah hamba ini yang hendak dibunuh oleh raja Israel! Lihatlah hamba ini yang dikejar-kejar oleh tuanku! Hamba hanya seekor anjing mati, seekor kutu sahaja!
16 TUHAN akan mengadili antara tuanku dan hamba, dan menentukan siapa yang bersalah. Semoga Dia memeriksa perkara ini, dan membela hamba serta menyelamatkan hamba daripada tuanku.”
17 Setelah Daud mengucapkan kata-kata itu, Raja Saul bertitah, “Benarkah kamu ini Daud, anakku?” Lalu Raja Saul menangis.
18 Kemudian Raja Saul bertitah kepada Daud, “Memang kamulah yang benar dan beta bersalah. Kamu telah berlaku begitu baik terhadap beta, walaupun beta telah berlaku jahat terhadapmu.
19 Hari ini kamu telah membuktikan bahawa kamu bermaksud baik terhadap beta. Kamu tidak membunuh beta walaupun TUHAN telah menyerahkan beta kepadamu.