12 Oleh itu anak buah Daud kembali kepada Daud dan memberitahukan kata-kata Nabal itu kepadanya.
13 “Ikatlah pedang kamu di pinggang masing-masing!” perintah Daud. Dengan segera anak buah Daud mentaati perintahnya. Daud juga mengikat pedangnya di pinggangnya lalu berangkat bersama dengan kira-kira empat ratus orang, sedang dua ratus orang yang lain tinggal untuk menjaga barang-barang.
14 Sementara itu salah seorang pekerja Nabal berkata kepada Abigail, isteri Nabal, “Sudahkah puan mendengar tentang hal yang terjadi? Daud menyuruh beberapa orang utusan dari padang gurun untuk menyampaikan salam kepada tuan kita. Tetapi tuan kita menghina mereka,
15 padahal mereka sangat baik terhadap kami dan tidak pernah mengganggu kami. Pada waktu kami bersama-sama mereka di padang gurun, tiada suatu apa pun milik kami yang dicuri.
16 Mereka melindungi kami siang dan malam selama kami menggembalakan domba dekat mereka.
17 Oleh itu fikirlah baik-baik apa yang harus dilakukan! Perkara ini mungkin mendatangkan bencana kepada tuan kita dan seluruh keluarganya. Tuan kita sangat keras kepala sehingga tidak mahu mendengar nasihat sesiapa pun!”
18 Dengan segera Abigail mengambil 200 ketul roti, dua buah kirbat kulit yang penuh dengan wain, lima ekor domba panggang, 17 kilogram biji-bijian yang dipanggang, 100 rangkai kismis dan 200 ketul kuih ara. Dia memuat semua itu di atas beberapa ekor keldai.