5 Kemudian Daud menyuruh sepuluh orang pemuda pergi ke Karmel. Daud menyuruh mereka menemui Nabal dan menyampaikan salam Daud kepadanya.
6 Daud menyuruh mereka berkata demikian, “Daud mengirimkan salamnya kepada tuan dan keluarga tuan serta segala milik tuan.
7 Daud mendengar bahawa tuan sedang menggunting bulu domba tuan. Ketahuilah bahawa para gembala tuan yang berada di kawasan kami tidak pernah kami ganggu, dan mereka belum pernah kehilangan apa pun selama berada di Karmel.
8 Cubalah tanyakan hal itu kepada mereka. Tentu mereka akan mengesahkan hal itu. Oleh sebab itu, Daud berharap agar kami, anak buahnya diterima dengan baik di rumah tuan, kerana kami datang pada hari besar ini. Berikanlah apa saja menurut kerelaan tuan kepada hamba-hamba tuan ini dan juga kepada Daud, sahabat baik tuan. ”
9 Setelah anak buah Daud tiba di Karmel, mereka menyampaikan pesan Daud itu kepada Nabal, lalu mereka menunggu di situ.
10 Tetapi Nabal menjawab, “Daud? Siapakah dia? Siapakah anak Isai itu? Belum pernah aku mendengar tentang dia! Akhir-akhir ini, ada banyak hamba yang lari daripada majikan mereka di negeri ini!
11 Mana boleh aku mengambil roti dan air minumku, serta daging yang sudah kusediakan bagi para penggunting bulu dombaku, lalu memberikan semuanya kepada orang yang entah dari mana!”