3 Daud dan anak buahnya tinggal di Gat bersama dengan keluarga masing-masing. Kedua-dua orang isteri Daud, Ahinoam yang berasal dari kota Yizreel, dan Abigail, balu Nabal yang berasal dari Karmel, juga menyertai dia.
4 Apabila Raja Saul mendengar bahawa Daud sudah melarikan diri ke Gat, baginda tidak berusaha menangkapnya lagi.
5 Kemudian Daud memberikan cadangan kepada Raja Akhis, “Jika tuanku berkenan dengan hamba, berilah hamba sebuah kota kecil di pedalaman untuk tempat tinggal, supaya hamba tuanku ini tidak menumpang kepada tuanku di ibu kota ini.”
6 Oleh itu Raja Akhis memberikan kota Ziklag kepada Daud. Sejak itulah Ziklag menjadi milik raja-raja Yehuda.
7 Daud tinggal di negeri orang Filistin selama satu tahun empat bulan.
8 Selama itu, Daud dan anak buahnya biasa menyerang orang Gesur, Girzi, dan Amalek; mereka sudah lama tinggal di kawasan itu. Daud menyerbu kawasan mereka sampai ke Sur, dan terus ke Mesir di sebelah selatan.
9 Daud membunuh semua orang lelaki dan wanita, serta merampas semua domba, lembu, keldai, unta, bahkan pakaian juga. Setelah itu dia pulang lalu menghadap Raja Akhis.