13 Raja Saul bertitah kepadanya, “Jangan takut! Beritahukanlah apa yang kamu nampak!”Perempuan itu berkata, “Hamba nampak roh muncul dari bumi.”
14 Raja Saul bertanya lagi, “Bagaimanakah rupanya?”Perempuan itu menjawab, “Rupanya seperti seorang lelaki tua. Dia memakai jubah.”Raja Saul sedar bahawa itulah arwah Samuel, lalu baginda bersujud untuk menghormatinya.
15 Samuel berkata kepada Raja Saul, “Mengapa kamu mengganggu aku dan memanggil aku kembali?”Raja Saul menjawab, “Aku dalam kesusahan besar! Orang Filistin menyerang aku, dan Allah sudah meninggalkan aku. Dia tidak menjawab aku lagi, sama ada dengan perantaraan nabi ataupun mimpi. Itulah sebabnya aku memanggil kamu, supaya kamu memberitahu aku apa yang harus kulakukan.”
16 Samuel berkata, “Apa gunanya kamu memanggil aku jika TUHAN sudah meninggalkan kamu, dan menjadi musuh kamu?
17 TUHAN sudah melakukan apa yang telah difirmankan-Nya kepadamu melalui aku. TUHAN sudah mengambil kerajaan Israel daripadamu, lalu memberikannya kepada Daud.
18 Kamu tidak taat kepada perintah TUHAN. Kamu tidak memunahkan orang Amalek dan segala milik mereka. Itulah sebabnya TUHAN melakukan perkara ini kepadamu sekarang.
19 Dia akan menyerahkan kamu dan orang Israel kepada orang Filistin. Esok kamu dan putera-puteramu akan menyertai aku; bahkan tentera Israel pun akan diserahkan TUHAN kepada orang Filistin.”