15 Samuel berkata kepada Raja Saul, “Mengapa kamu mengganggu aku dan memanggil aku kembali?”Raja Saul menjawab, “Aku dalam kesusahan besar! Orang Filistin menyerang aku, dan Allah sudah meninggalkan aku. Dia tidak menjawab aku lagi, sama ada dengan perantaraan nabi ataupun mimpi. Itulah sebabnya aku memanggil kamu, supaya kamu memberitahu aku apa yang harus kulakukan.”
16 Samuel berkata, “Apa gunanya kamu memanggil aku jika TUHAN sudah meninggalkan kamu, dan menjadi musuh kamu?
17 TUHAN sudah melakukan apa yang telah difirmankan-Nya kepadamu melalui aku. TUHAN sudah mengambil kerajaan Israel daripadamu, lalu memberikannya kepada Daud.
18 Kamu tidak taat kepada perintah TUHAN. Kamu tidak memunahkan orang Amalek dan segala milik mereka. Itulah sebabnya TUHAN melakukan perkara ini kepadamu sekarang.
19 Dia akan menyerahkan kamu dan orang Israel kepada orang Filistin. Esok kamu dan putera-puteramu akan menyertai aku; bahkan tentera Israel pun akan diserahkan TUHAN kepada orang Filistin.”
20 Ketika itu juga Raja Saul jatuh terlentang di tanah kerana sangat ketakutan mendengar kata-kata Samuel. Lagi pun baginda sangat lemah kerana tidak makan apa-apa sehari semalam.
21 Perempuan itu menghampiri Raja Saul dan mengetahui bahawa baginda sangat cemas. Oleh itu perempuan itu berkata kepada baginda, “Tuanku, hamba sudah mempertaruhkan nyawa untuk memenuhi permintaan tuanku.