9 Perempuan itu menjawab, “Tentu tuan pun tahu bahawa Raja Saul sudah memaksa semua peramal dan pemanggil arwah untuk meninggalkan Israel. Mengapa tuan mencuba mencelakakan saya sehingga saya dibunuh?”
10 Kemudian Raja Saul bersumpah, “Demi TUHAN yang hidup, aku berjanji bahawa kamu tidak akan dihukum kerana melakukan perkara ini.”
11 “Arwah siapakah yang harus saya panggil untuk tuan?” tanya perempuan itu.“Arwah Samuel,” jawab Raja Saul.
12 Apabila perempuan itu nampak Samuel, dia berteriak dan berkata kepada Raja Saul, “Mengapa tuanku menipu hamba? Tuanku Raja Saul!”
13 Raja Saul bertitah kepadanya, “Jangan takut! Beritahukanlah apa yang kamu nampak!”Perempuan itu berkata, “Hamba nampak roh muncul dari bumi.”
14 Raja Saul bertanya lagi, “Bagaimanakah rupanya?”Perempuan itu menjawab, “Rupanya seperti seorang lelaki tua. Dia memakai jubah.”Raja Saul sedar bahawa itulah arwah Samuel, lalu baginda bersujud untuk menghormatinya.
15 Samuel berkata kepada Raja Saul, “Mengapa kamu mengganggu aku dan memanggil aku kembali?”Raja Saul menjawab, “Aku dalam kesusahan besar! Orang Filistin menyerang aku, dan Allah sudah meninggalkan aku. Dia tidak menjawab aku lagi, sama ada dengan perantaraan nabi ataupun mimpi. Itulah sebabnya aku memanggil kamu, supaya kamu memberitahu aku apa yang harus kulakukan.”