11 Dalam perjalanan itu anak buah Daud bertemu dengan seorang budak lelaki bangsa Mesir di padang, lalu budak itu dibawa kepada Daud. Dia diberikan makanan dan minuman,
12 dan juga beberapa ketul kuih ara dan dua rangkai kismis. Setelah dia makan, dia menjadi kuat semula; ternyata sudah tiga hari dia tidak makan atau minum!
13 Kemudian Daud bertanya kepadanya, “Siapakah tuanmu? Dari manakah kamu?”Budak itu menjawab, “Saya orang Mesir, hamba seorang Amalek. Tuan saya meninggalkan saya tiga hari yang lalu kerana saya sakit.
14 Kami sudah menyerbu kawasan orang Kreti di bahagian selatan Yehuda dan kawasan puak Kaleb, dan juga membakar habis kota Ziklag.”
15 Daud bertanya kepadanya, “Mahukah kamu membawa kami ke tempat gerombolan itu?”“Saya mahu,” jawabnya. “Tetapi tuan mesti bersumpah demi Allah bahawa tuan tidak akan membunuh saya ataupun menyerahkan saya kepada tuan saya.”
16 Lalu dia menghantar Daud ke tempat gerombolan itu.Gerombolan itu terpencar di sana sini, di seluruh tempat itu. Mereka sedang makan minum dan bersuka-suka kerana banyak harta yang dirampas oleh mereka dari negeri orang Filistin dan Yehuda.
17 Pada waktu fajar menyingsing keesokan harinya, mereka diserang oleh Daud dan pertempuran berlangsung sampai malam. Selain empat ratus orang muda yang melarikan diri dengan menunggang unta, tidak seorang pun antara musuh yang dapat melarikan diri.