17 Pada waktu fajar menyingsing keesokan harinya, mereka diserang oleh Daud dan pertempuran berlangsung sampai malam. Selain empat ratus orang muda yang melarikan diri dengan menunggang unta, tidak seorang pun antara musuh yang dapat melarikan diri.
18 Daud berjaya mengambil semula semua yang dirampas oleh orang Amalek, termasuk kedua-dua orang isterinya;
19 tiada suatu apa pun yang hilang. Daud mendapatkan semula semua anak lelaki dan anak perempuan anak buahnya, serta segala sesuatu yang sudah dijarah oleh orang Amalek.
20 Di samping itu Daud juga merampas balik semua domba dan ternakan lain. Ternakan itu digiring oleh anak buah Daud di hadapan, terpisah daripada barang rampasan yang lain. Kemudian mereka berkata, “Ini bahagian Daud!”
21 Setelah itu Daud kembali kepada dua ratus orang yang terlalu penat untuk mengikuti dia, dan yang sudah ditinggalkan di pinggir Sungai Besor. Mereka menyambut Daud serta anak buahnya, lalu Daud menghampiri mereka dan memberikan salam kepada mereka.
22 Tetapi di kalangan anak buah Daud yang mengikuti dia, ada yang jahat dan tamak. Mereka berkata, “Semua orang ini tidak ikut, kerana itu mereka tidak berhak mendapat apa-apa daripada barang jarahan. Mereka hanya boleh mengambil anak isteri mereka, lalu pergi.”
23 Tetapi Daud berkata, “Hai saudara-saudaraku, janganlah berbuat demikian dengan apa yang sudah diberikan TUHAN kepada kita. Dia sudah memelihara kita dan memberi kita kemenangan terhadap gerombolan perompak itu.