20 Di samping itu Daud juga merampas balik semua domba dan ternakan lain. Ternakan itu digiring oleh anak buah Daud di hadapan, terpisah daripada barang rampasan yang lain. Kemudian mereka berkata, “Ini bahagian Daud!”
21 Setelah itu Daud kembali kepada dua ratus orang yang terlalu penat untuk mengikuti dia, dan yang sudah ditinggalkan di pinggir Sungai Besor. Mereka menyambut Daud serta anak buahnya, lalu Daud menghampiri mereka dan memberikan salam kepada mereka.
22 Tetapi di kalangan anak buah Daud yang mengikuti dia, ada yang jahat dan tamak. Mereka berkata, “Semua orang ini tidak ikut, kerana itu mereka tidak berhak mendapat apa-apa daripada barang jarahan. Mereka hanya boleh mengambil anak isteri mereka, lalu pergi.”
23 Tetapi Daud berkata, “Hai saudara-saudaraku, janganlah berbuat demikian dengan apa yang sudah diberikan TUHAN kepada kita. Dia sudah memelihara kita dan memberi kita kemenangan terhadap gerombolan perompak itu.
24 Tiada seorang pun dapat menyetujui pendapat kamu itu. Semua orang mesti mendapat bahagian yang sama banyaknya: orang yang tinggal untuk menjaga barang-barang mesti mendapat bahagian yang sama seperti orang yang maju berperang.”
25 Daud menjadikan ketetapan itu satu peraturan, dan sejak itu peraturan itu ditaati di Israel sampai sekarang.
26 Ketika Daud pulang ke Ziklag, dia menghantar sebahagian daripada barang jarahan itu kepada sahabat-sahabatnya, iaitu para pemimpin Yehuda, dengan pesan, “Terimalah hadiah ini daripada barang jarahan yang kami ambil daripada musuh TUHAN.”