9 Oleh itu Daud bersama dengan enam ratus orang anak buahnya berangkat. Apabila mereka sampai di Sungai Besor, sebilangan daripada mereka berhenti di situ.
10 Daud dengan empat ratus orangnya meneruskan perjalanan. Dua ratus orang yang lain terlalu penat untuk menyeberang sungai, lalu mereka berhenti di situ.
11 Dalam perjalanan itu anak buah Daud bertemu dengan seorang budak lelaki bangsa Mesir di padang, lalu budak itu dibawa kepada Daud. Dia diberikan makanan dan minuman,
12 dan juga beberapa ketul kuih ara dan dua rangkai kismis. Setelah dia makan, dia menjadi kuat semula; ternyata sudah tiga hari dia tidak makan atau minum!
13 Kemudian Daud bertanya kepadanya, “Siapakah tuanmu? Dari manakah kamu?”Budak itu menjawab, “Saya orang Mesir, hamba seorang Amalek. Tuan saya meninggalkan saya tiga hari yang lalu kerana saya sakit.
14 Kami sudah menyerbu kawasan orang Kreti di bahagian selatan Yehuda dan kawasan puak Kaleb, dan juga membakar habis kota Ziklag.”
15 Daud bertanya kepadanya, “Mahukah kamu membawa kami ke tempat gerombolan itu?”“Saya mahu,” jawabnya. “Tetapi tuan mesti bersumpah demi Allah bahawa tuan tidak akan membunuh saya ataupun menyerahkan saya kepada tuan saya.”