1 Sementara itu orang Filistin berperang dengan orang Israel di Gunung Gilboa. Banyak orang Israel terbunuh di situ. Orang Israel yang lain, termasuk Raja Saul dan putera-puteranya melarikan diri.
2 Tetapi orang Filistin mengejar mereka dan membunuh tiga orang putera Raja Saul, iaitu Yonatan, Abinadab, dan Malkisua.
3 Pertempuran ketika itu amat sengit di sekeliling Raja Saul sehingga baginda sendiri luka parah dipanah oleh musuh.
4 Raja Saul bertitah kepada pembawa senjatanya, “Hunuslah pedangmu dan bunuhlah beta, supaya jangan orang Filistin yang tidak mengenal Allah ini mempermainkan beta, dan membunuh beta.” Tetapi pembawa senjata itu tidak berani melakukannya. Oleh itu Raja Saul menghunus pedangnya dan menikam dirinya sendiri.
5 Apabila pembawa senjata itu nampak bahawa Raja Saul sudah mangkat, dia juga menikam dirinya sendiri lalu mati bersama-sama Raja Saul.
6 Demikianlah Raja Saul dan tiga orang puteranya mangkat, dan juga pembawa senjata itu, dan semua anak buah Raja Saul meninggal pada hari itu.