3 Pertempuran ketika itu amat sengit di sekeliling Raja Saul sehingga baginda sendiri luka parah dipanah oleh musuh.
4 Raja Saul bertitah kepada pembawa senjatanya, “Hunuslah pedangmu dan bunuhlah beta, supaya jangan orang Filistin yang tidak mengenal Allah ini mempermainkan beta, dan membunuh beta.” Tetapi pembawa senjata itu tidak berani melakukannya. Oleh itu Raja Saul menghunus pedangnya dan menikam dirinya sendiri.
5 Apabila pembawa senjata itu nampak bahawa Raja Saul sudah mangkat, dia juga menikam dirinya sendiri lalu mati bersama-sama Raja Saul.
6 Demikianlah Raja Saul dan tiga orang puteranya mangkat, dan juga pembawa senjata itu, dan semua anak buah Raja Saul meninggal pada hari itu.
7 Apabila orang Israel yang di seberang Lembah Yizreel dan di sebelah timur Sungai Yordan mendengar bahawa tentera Israel telah melarikan diri, dan bahawa Raja Saul dan putera-puteranya sudah dibunuh, mereka pun meninggalkan kota-kota mereka lalu lari. Kemudian orang Filistin datang dan menduduki kota-kota itu.
8 Keesokan harinya, orang Filistin menjarah barang-barang pada jenazah orang Israel. Kemudian mereka menjumpai jenazah Raja Saul dan tiga orang puteranya di Gunung Gilboa.
9 Mereka memenggal kepala Raja Saul dan mengambil baju perangnya. Kemudian orang Filistin mengirim utusan ke seluruh negeri Filistin untuk menyampaikan khabar baik itu kepada berhala-berhala dan rakyat mereka.