1 Setiap kali Samuel berkata-kata, semua orang Israel mendengarkan dia.Pada masa itu orang Filistin mengumpulkan tentera mereka untuk menyerang Israel. Oleh itu tentera Israel pun maju ke medan peperangan. Tentera Israel berkhemah di Eben-Haezer, dan tentera Filistin berkhemah di Afek.
2 Tentera Filistin menyerang tentera Israel, dan setelah bertempur dengan sengit, tentera Israel kalah. Kira-kira 4,000 orang Israel dibunuh oleh tentera Filistin di medan peperangan.
3 Apabila tentera Israel yang masih hidup pulang ke perkhemahan, para pemimpin Israel berkata, “Mengapakah TUHAN membiarkan tentera Filistin mengalahkan kita hari ini? Marilah kita membawa Tabut Perjanjian TUHAN dari Silo, supaya Dia akan menyertai kita dan menyelamatkan kita daripada musuh.”
4 Oleh itu mereka mengutus orang ke Silo untuk mengambil Tabut Perjanjian TUHAN Yang Maha Kuasa, yang bertakhta di atas kerub. Kedua-dua orang anak Eli, iaitu Hofni dan Pinehas pun datang bersama-sama Tabut Perjanjian itu.
5 Apabila Tabut Perjanjian itu sampai di perkhemahan, tentera Israel bersorak dengan sangat kuat kerana gembira, sehingga bumi bergoncang.
6 Tentera Filistin juga mendengar bunyi sorak itu lalu berkata, “Mengapakah orang Ibrani itu bersorak-sorak?” Tetapi selepas mereka mengetahui bahawa Tabut Perjanjian TUHAN sudah tiba di perkhemahan orang Ibrani,
7 mereka menjadi takut. Mereka berkata, “Ada dewa datang ke perkhemahan mereka! Celakalah kita! Belum pernah kita mengalami perkara seperti ini!