15 Kemudian orang Lewi menurunkan Tabut Perjanjian TUHAN dan peti yang berisi benda-benda emas itu. Mereka meletakkan semuanya di atas batu besar di situ. Selepas itu, penduduk Bet-Semes mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban-korban lain kepada TUHAN.
16 Ketika kelima-lima orang raja Filistin itu nampak semua kejadian itu, mereka pulang ke Ekron pada hari itu juga.
17 Orang Filistin mengirim lima bengkak tiruan daripada emas kepada TUHAN, sebagai persembahan penebus dosa, satu biji untuk setiap kota berikut: Asdod, Gaza, Askelon, Gat, dan Ekron.
18 Mereka juga mengirim tikus tiruan daripada emas, satu untuk setiap kota yang diperintah oleh lima orang raja Filistin itu, baik kota yang bertembok dan pekan yang tidak bertembok. Bukti peristiwa itu adalah batu besar tempat mereka meletakkan Tabut Perjanjian TUHAN. Sampai hari ini pun batu itu masih ada di ladang Yosua, orang Bet-Semes itu.
19 TUHAN membunuh tujuh puluh orang penduduk Bet-Semes kerana mereka melihat ke dalam Tabut Perjanjian. Oleh itu, penduduk kota berkabung kerana TUHAN menimpakan malapetaka yang sangat dahsyat kepada mereka.
20 Penduduk Bet-Semes berkata, “Siapakah yang sanggup menghadap TUHAN, Allah yang suci? Ke manakah harus kita hantarkan Dia supaya jauh daripada kita?”
21 Mereka mengutus beberapa orang supaya memberitahu penduduk Kiryat-Yearim, “Orang Filistin sudah mengembalikan Tabut Perjanjian TUHAN. Datanglah untuk mengambil Tabut itu.”