1 Kemudian penduduk Kiryat-Yearim mengambil Tabut Perjanjian TUHAN dan membawanya ke rumah seorang yang bernama Abinadab; rumah itu terletak di atas bukit. Mereka mentahbiskan Eleazar anak Abinadab untuk menjaga Tabut Perjanjian.
2 Lama juga Tabut Perjanjian TUHAN berada di Kiryat-Yearim, kira-kira dua puluh tahun. Selama itu segenap umat Israel berseru minta tolong kepada TUHAN.
3 Samuel berkata kepada umat Israel, “Jika kamu hendak kembali kepada TUHAN dan menyembah Dia dengan sepenuh hati, buanglah semua dewa asing dan patung-patung Dewi Asytoret. Serahkanlah diri kamu sepenuhnya kepada TUHAN dan mengabdilah kepada Dia sahaja. Barulah Dia akan membebaskan kamu daripada kuasa orang Filistin.”
4 Oleh itu umat Israel membuang patung-patung Dewa Baal dan Dewi Asytoret, lalu menyembah TUHAN sahaja.
5 Selepas itu Samuel berkata, “Kumpulkanlah segenap umat Israel di Mizpa. Kemudian aku akan berdoa untuk kamu di situ.”
6 Oleh itu mereka semua berkumpul di Mizpa. Mereka menimba air lalu menuangkannya sebagai persembahan untuk TUHAN. Mereka juga berpuasa sepanjang hari. Mereka berkata, “Kami sudah berdosa terhadap TUHAN.” (Di Mizpa Samuel menyelesaikan perkara-perkara perselisihan antara umat Israel).
7 Apabila orang Filistin mendengar bahawa umat Israel sudah berkumpul di Mizpa, lima orang raja Filistin berangkat ke sana bersama dengan tentera mereka untuk menyerang umat Israel. Umat Israel menjadi takut ketika mereka mendengar hal itu.