1 Samuel 9:12-13-19 BM

12-13 “Ada,” jawab gadis-gadis itu. “Dia baru saja berjalan mendahului kamu. Jika kamu cepat, mungkin kamu boleh menyusul dia. Sebaik saja kamu sampai di kota, kamu akan menjumpai dia. Dia baru datang ke kota kerana pada hari ini, rakyat akan mempersembahkan korban di atas mazbah di bukit. Para jemputan tidak akan makan sebelum dia datang, kerana dia mesti memberkati korban itu dahulu. Jika kamu pergi sekarang, kamu akan sempat menjumpainya sebelum dia mendaki bukit untuk makan.”

14 Oleh itu Saul dan hambanya pergi ke kota. Ketika mereka masuk pintu gerbang, mereka berpapasan dengan Samuel yang sedang berjalan menuju ke tempat ibadat di bukit.

15 Sehari sebelum itu, TUHAN telah berfirman kepada Samuel,

16 “Esok pagi kira-kira waktu begini, Aku akan mengutus seorang lelaki daripada suku Benyamin berjumpa dengan engkau. Lumurilah kepalanya dengan minyak sebagai tanda untuk melantiknya menjadi raja umat-Ku Israel. Dia akan membebaskan umat-Ku daripada orang Filistin. Aku sudah melihat penderitaan umat-Ku, dan Aku sudah mendengar tangisan mereka minta tolong.”

17 Apabila Samuel nampak Saul, TUHAN berfirman kepadanya, “Inilah orang yang Kukatakan itu. Dia akan memerintah umat-Ku.”

18 Sementara itu Saul menghampiri Samuel dekat pintu gerbang, lalu bertanya, “Maaf, tuan, di manakah rumah pelihat itu?”

19 Samuel menjawab, “Sayalah dia. Pergilah mendahului saya ke tempat ibadat di bukit, kerana pada hari ini kamu akan makan bersama-sama saya. Esok pagi, saya akan menjawab segala pertanyaan kamu. Setelah itu bolehlah kamu pulang.