14 Oleh itu Saul dan hambanya pergi ke kota. Ketika mereka masuk pintu gerbang, mereka berpapasan dengan Samuel yang sedang berjalan menuju ke tempat ibadat di bukit.
15 Sehari sebelum itu, TUHAN telah berfirman kepada Samuel,
16 “Esok pagi kira-kira waktu begini, Aku akan mengutus seorang lelaki daripada suku Benyamin berjumpa dengan engkau. Lumurilah kepalanya dengan minyak sebagai tanda untuk melantiknya menjadi raja umat-Ku Israel. Dia akan membebaskan umat-Ku daripada orang Filistin. Aku sudah melihat penderitaan umat-Ku, dan Aku sudah mendengar tangisan mereka minta tolong.”
17 Apabila Samuel nampak Saul, TUHAN berfirman kepadanya, “Inilah orang yang Kukatakan itu. Dia akan memerintah umat-Ku.”
18 Sementara itu Saul menghampiri Samuel dekat pintu gerbang, lalu bertanya, “Maaf, tuan, di manakah rumah pelihat itu?”
19 Samuel menjawab, “Sayalah dia. Pergilah mendahului saya ke tempat ibadat di bukit, kerana pada hari ini kamu akan makan bersama-sama saya. Esok pagi, saya akan menjawab segala pertanyaan kamu. Setelah itu bolehlah kamu pulang.
20 Jangan khuatir tentang keldai yang hilang tiga hari dahulu. Keldai-keldai itu sudah dijumpai. Lagipun, yang paling diingini oleh umat Israel ialah kamu; kamu dan keluarga bapamu.”