1 Samuel 9:3-9-11 BM

3 Pada suatu hari, beberapa ekor keldai kepunyaan Kish hilang. Oleh itu dia berkata kepada Saul, “Bawalah salah seorang hamba bersama-samamu dan pergilah cari keldai itu.”

4 Kemudian Saul dan hambanya menjelajahi kawasan perbukitan Efraim dan kawasan Salisa, tetapi mereka tidak menjumpai keldai-keldai itu. Kemudian mereka meneruskan perjalanan ke daerah Sahalim, tetapi keldai-keldai itu tidak ada di sana. Mereka mencari pula di wilayah Benyamin, tetapi keldai-keldai itu masih tidak dijumpai.

5 Apabila mereka sampai di daerah Zuf, Saul berkata kepada hambanya, “Marilah kita pulang, jangan-jangan ayah lebih cemas memikirkan kita daripada keldai-keldai itu.”

6 Hambanya menjawab, “Tunggu dulu! Di kota ini ada seorang hamba Allah. Dia sangat dihormati orang kerana apa sahaja yang dikatakannya selalu benar-benar terjadi. Marilah kita pergi berjumpa dengan dia. Barangkali dia dapat memberitahu kita di mana keldai-keldai itu.”

7 Saul berkata, “Jika kita pergi berjumpa dengan dia, apakah yang dapat kita berikan kepadanya? Bekal yang kita bawa sudah habis, dan kita tidak punya apa-apa untuk diberikan kepada hamba Allah itu, bukan?”

8 Hamba itu menjawab, “Saya mempunyai sekeping wang perak. Saya boleh memberikan wang ini kepada hamba Allah itu, supaya dia dapat memberitahu kita di mana keldai-keldai itu.”

9-11 “Baiklah!” jawab Saul. “Marilah kita pergi.” Lalu mereka pergi ke kota, tempat hamba Allah itu tinggal. Ketika mereka mendaki bukit menuju ke kota itu, mereka berjumpa dengan beberapa orang gadis yang hendak menimba air di perigi. Mereka bertanya kepada gadis-gadis itu, “Adakah pelihat itu berada di kota?”(Pada zaman itu, seorang nabi disebut pelihat. Oleh itu apabila seseorang hendak menanyakan sesuatu kepada Allah, mereka berkata, “Marilah kita pergi kepada pelihat.”)