2 Raja-Raja 9:10-17 BM

10 Izebel tidak akan dikebumikan. Jenazahnya akan dimakan anjing di kawasan Yizreel.’ ” Setelah mengatakan semua itu, nabi muda itu meninggalkan bilik lalu pergi dengan cepat.

11 Yehu kembali kepada para panglima yang lain. Mereka bertanya kepadanya, “Apakah berita yang dibawanya? Mengapa orang gila itu datang kepadamu?”“Tidakkah kamu tahu?” tanya Yehu.

12 “Tidak!” jawab mereka. “Beritahukanlah apa katanya.”“Dia memberitahu saya bahawa TUHAN mengisytiharkan, ‘Aku telah melantik engkau menjadi raja Israel.’ ”

13 Pada saat itu juga, sahabat-sahabat Yehu membentangkan jubah mereka di bahagian atas tangga bagi Yehu. Mereka meniup trompet dan berseru, “Yehu raja!”

14-15 Selepas itu Raja Yehu berkomplot melawan Raja Yoram. Pada masa itu Raja Yoram berada di Yizreel. Raja Yoram pergi ke sana untuk mendapatkan rawatan bagi lukanya akibat pertempuran di Ramot melawan Raja Hazael, raja negeri Siria. Raja Yehu berkata kepada sahabat-sahabatnya, “Jika kamu setuju beta menjadi raja, jagalah supaya jangan seorang pun keluar dari Ramot untuk memberitahukan rahsia itu kepada penduduk Yizreel.”

16 Raja Yehu menaiki kereta kuda baginda, lalu berangkat ke Yizreel. Pada masa itu Raja Yoram masih belum sembuh, dan Raja Ahazia dari Yehuda berada di situ untuk menziarahi Raja Yoram.

17 Seorang pengawal yang bertugas di menara di Yizreel nampak Raja Yehu dan anak buahnya datang. Katanya, “Hamba nampak beberapa orang datang!”Raja Yoram menjawab, “Suruhlah seorang askar berkuda pergi menyiasat sama ada mereka itu kawan atau lawan.”