1 Pada hari pertama bulan kedua, dalam tahun kedua selepas umat Israel meninggalkan Mesir, TUHAN berfirman kepada Musa di dalam Khemah TUHAN di Gurun Sinai. Dia berfirman,
2 “Engkau dan Harun harus membanci orang Israel menurut puak dan keluarga. Buatlah senarai nama semua orang lelaki
3 yang berumur dua puluh tahun ke atas, yang layak menjadi askar.
4 Mintalah seorang penghulu puak daripada tiap-tiap suku untuk menolong kamu.”
17 Dengan bantuan dua belas orang itu, Musa dan Harun
18 mengumpulkan segenap umat pada hari pertama bulan kedua. Semua orang didaftarkan menurut puak dan keluarga masing-masing. Nama setiap orang lelaki yang berumur dua puluh tahun ke atas didaftarkan dan dihitung,
19 sebagaimana yang diperintahkan TUHAN. Musa mendaftarkan mereka di Gurun Sinai.
47 Orang Lewi tidak didaftarkan bersama dengan suku-suku lain,
48 kerana TUHAN sudah berfirman kepada Musa,
49 “Apabila engkau membanci orang lelaki yang layak menjadi askar, jangan banci suku Lewi.
50 Tetapi suruhlah orang Lewi mengurus Khemah-Ku dan segala peralatannya. Mereka harus memikul Khemah dan peralatannya, serta bertugas di situ. Mereka juga harus berkhemah di sekeliling Khemah-Ku.
51 Apabila kamu memindahkan perkhemahan, orang Lewi harus menggulung Khemah-Ku, dan memasangnya semula di tempat yang baru. Selain orang Lewi, sesiapa yang menghampiri Khemah-Ku mesti dihukum mati.
52 Orang Israel lain harus berkhemah dalam kumpulan, dan setiap orang dalam kelompoknya sendiri, dan di bawah panji masing-masing.
53 Tetapi orang Lewi harus berkhemah di sekeliling Khemah-Ku untuk mengawalnya supaya tiada sesiapa pun akan menghampirinya, lalu menyebabkan Aku murka dan menghukum umat Israel.”
54 Maka umat Israel melakukan segala yang diperintahkan TUHAN kepada Musa.