1 TUHAN berfirman kepada Harun, “Engkau, anak-anak lelakimu, dan orang Lewi mesti menanggung akibat kesalahan yang berlaku, yang berkaitan dengan pekerjaan di Khemah-Ku. Tetapi cuma engkau dan anak-anak lelakimu yang menanggung kesalahan yang berkaitan dengan pekerjaan imam.
2 Suruhlah sanak saudaramu, iaitu suku Lewi, bekerja bersama-sama kamu dan menolong kamu ketika engkau dan anak-anak lelakimu bertugas di Khemah-Ku.
3 Orang Lewi mesti melakukan kewajipan mereka terhadap kamu dan melakukan tugas mereka di Khemah-Ku, tetapi mereka tidak boleh menghampiri mazbah atau menyentuh benda-benda suci di dalam Bilik Suci. Jika mereka melanggar peraturan itu, baik mereka mahupun kamu akan mati.
4 Mereka harus bekerja bersama-sama kamu dan melakukan tugas-tugas yang berkaitan dengan segala pekerjaan di Khemah-Ku, tetapi orang yang tidak diberikan hak untuk melakukan tugas itu dilarang bekerja bersama-sama kamu.
5 Hanya engkau dan anak-anak lelakimu boleh melakukan tugas di dalam Bilik Suci dan di mazbah, supaya Aku tidak murka terhadap umat Israel.
6 Sesungguhnya, Akulah yang sudah memilih sanak saudaramu orang Lewi di kalangan umat Israel, supaya mereka menjadi pemberian bagi kamu. Mereka sudah ditahbiskan untuk Aku supaya mereka dapat melakukan tugas di Khemah-Ku.
7 Tetapi hanya engkau dan anak-anak lelakimu yang boleh melakukan segala kewajipan imam yang berkaitan dengan mazbah dan apa-apa yang di dalam Bilik Maha Suci. Semua hal itu tanggungjawabmu, kerana Aku sudah mengurniakan tugas imam kepadamu. Sesiapa sahaja yang tidak berhak menjalankan tugas itu akan dihukum mati apabila menghampiri benda-benda suci.”
8 TUHAN berfirman kepada Harun, “Ingatlah bahawa segala sumbangan khas yang tidak dibakar sebagai korban, yang dipersembahkan kepada-Ku, akan Kuberikan kepadamu. Aku memberikan sumbangan itu kepadamu dan keturunanmu, sebagai hak kamu yang ditetapkan selama-lamanya.
9 Daripada persembahan-persembahan yang paling suci, yang tidak dibakar di atas mazbah, yang berikut ini adalah untukmu: korban untuk mengucap syukur, korban untuk mengampunkan dosa, dan korban untuk membayar ganti rugi. Semua korban yang dipersembahkan kepada-Ku sebagai persembahan suci menjadi milikmu dan anak-anak lelakimu.
10 Kamu harus makan makanan itu di tempat yang suci, dan hanya lelaki yang boleh memakannya; makanan itu suci.
11 Selain itu, segala sumbangan khas lain yang dipersembahkan oleh umat Israel kepada-Ku menjadi milikmu. Aku memberikan semuanya kepadamu, anak-anakmu lelaki dan perempuan. Peraturan ini berlaku sepanjang masa. Tiap-tiap anggota keluargamu yang tidak najis boleh memakannya.
12 Aku memberi engkau segala hasil pertama yang terbaik, yang dipersembahkan umat Israel kepada-Ku tiap-tiap tahun: minyak zaitun, wain, dan gandum.
13 Semua itu milikmu. Tiap-tiap anggota keluargamu yang tidak najis boleh memakannya.
14 Segala sesuatu di tanah Israel yang sudah dikhaskan untuk Aku, menjadi milikmu.
15 Tiap-tiap anak sulung manusia ataupun anak sulung binatang yang dipersembahkan oleh umat Israel kepada-Ku, menjadi milikmu. Tetapi tiap-tiap anak sulung manusia dan juga anak sulung binatang haram harus ditebus.
16 Kanak-kanak harus ditebus ketika berumur satu bulan. Harga yang ditentukan untuk menebusnya adalah lima keping perak, menurut harga yang ditetapkan di Khemah-Ku.
17 Tetapi anak sulung lembu, domba, dan kambing tidak boleh ditebus; binatang itu untuk Aku sepenuhnya dan mesti dipersembahkan sebagai korban. Siramkanlah darah binatang itu pada mazbah dan bakarlah lemaknya sebagai persembahan makanan; baunya menyenangkan hati-Ku.
18 Daging korban itu milikmu, sama seperti dada dan paha kanan binatang yang dipersembahkan kepada-Ku sebagai persembahan istimewa.
19 Segala sumbangan khas yang dipersembahkan umat Israel kepada-Ku, akan Kuberikan kepadamu, anak-anakmu lelaki dan perempuan sepanjang masa. Perjanjian ini tidak dapat dibatalkan; Aku sudah membuatnya dengan engkau dan keturunanmu.”
20 TUHAN berfirman kepada Harun, “Engkau tidak akan mendapat sebarang harta sebagai warisan. Tidak ada bahagian tanah di Israel yang akan menjadi milikmu. Aku, TUHAN, adalah warisanmu.”
21 TUHAN berfirman, “Semua persepuluhan yang dipersembahkan umat Israel kepada-Ku akan Kuberikan kepada orang Lewi. Itulah ganjaran bagi pekerjaan mereka di Khemah-Ku.
22 Orang Israel lain tidak boleh lagi menghampiri Khemah itu. Jika mereka menghampirinya, mereka akan mendatangkan hukuman mati kepada diri mereka sendiri.
23 Mulai sekarang, hanya orang Lewi yang boleh mengurus Khemah-Ku dan bertanggungjawab penuh atas pekerjaan itu. Peraturan ini berlaku juga bagi keturunan kamu sampai selama-lamanya. Orang Lewi tidak akan mendapat warisan tanah di Israel
24 kerana sebagai milik mereka, Aku sudah memberi mereka persepuluhan yang dipersembahkan oleh umat Israel kepada-Ku sebagai sumbangan khas. Itulah sebabnya Aku memberitahu orang Lewi bahawa mereka tidak akan mendapat warisan tanah di Israel.”
25 TUHAN menyuruh Musa
26 menyampaikan perintah ini kepada orang Lewi, “Apabila kamu menerima persembahan persepuluhan daripada umat Israel, yang diberikan TUHAN sebagai milik kamu, kamu harus mempersembahkan sepersepuluh daripadanya kepada TUHAN sebagai sumbangan khas.
27 Sumbangan khas itu dianggap sama dengan persembahan gandum baru dan wain baru yang dipersembahkan oleh petani.
28 Dengan cara ini, kamu juga mempersembahkan sumbangan khas yang menjadi milik TUHAN daripada segala persembahan persepuluhan yang kamu terima daripada umat Israel. Kamu mesti memberikan sumbangan khas bagi TUHAN ini kepada Imam Harun.
29 Berikanlah bahagian yang paling baik daripada segala sesuatu yang kamu terima.
30 Setelah kamu mempersembahkan bahagian yang paling baik, kamu boleh menyimpan sisanya, sama seperti seorang petani yang mengambil apa yang tertinggal setelah dia memberikan persembahannya.
31 Kamu dan keluarga kamu boleh makan yang tertinggal itu di mana-mana sahaja, kerana itu adalah ganjaran bagi pekerjaan kamu di Khemah TUHAN.
32 Kamu tidak bersalah apabila kamu memakannya, asal sahaja kamu sudah mempersembahkan bahagiannya yang paling baik kepada TUHAN. Kamu tidak boleh menajiskan persembahan yang suci daripada umat Israel dengan memakan apa pun daripada persembahan itu sebelum mempersembahkan bahagian yang paling baik kepada TUHAN. Jika kamu melanggar peraturan itu, kamu akan dihukum mati.”