1 TUHAN berfirman kepada Musa,
2 “Suruhlah umat Israel memberi engkau dua belas batang tongkat; tongkat itu harus diserahkan oleh setiap pemimpin suku. Tulislah nama setiap pemimpin pada tongkatnya,
3 lalu tulislah nama Harun pada tongkat yang mewakili suku Lewi. Tiap-tiap pemimpin suku harus ada sebatang tongkat.
4 Bawalah tongkat-tongkat itu ke dalam Khemah-Ku, dan letakkan semuanya di depan Tabut Perjanjian, tempat Aku bertemu dengan engkau.
5 Tongkat orang yang Kupilih akan bertunas. Dengan demikian Aku akan menghentikan sungutan orang Israel yang tidak putus-putus terhadap engkau.”
6 Oleh itu Musa memberitahu umat Israel tentang perkara itu. Kemudian tiap-tiap pemimpin mereka memberikan sebatang tongkat kepada Musa, iaitu satu batang daripada tiap-tiap suku. Kesemuanya dua belas batang, termasuk tongkat Harun.
7 Setelah itu Musa meletakkan semua tongkat itu di dalam Khemah TUHAN, di depan Tabut Perjanjian.
8 Keesokan harinya, ketika Musa masuk ke dalam Khemah TUHAN, dia melihat bahawa tongkat Harun, tongkat yang mewakili suku Lewi, sudah bertunas. Tongkat itu sudah berkudup, berbunga, dan menghasilkan beberapa buah badam yang tua.
9 Musa mengambil semua tongkat itu dan menunjukkannya kepada umat Israel. Mereka nampak apa yang sudah berlaku, lalu setiap pemimpin mengambil tongkat masing-masing.
10 Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Letakkanlah semula tongkat Harun di depan Tabut Perjanjian. Tongkat itu harus disimpan sebagai amaran kepada orang Israel yang suka memberontak, bahawa mereka akan mati jika mereka tidak berhenti bersungut-sungut.”
11 Musa melakukan apa yang diperintahkan TUHAN.
12 Kemudian orang Israel berkata kepada Musa, “Kalau begitu, celakalah kami! Kami akan binasa!
13 Jika orang yang menghampiri Khemah TUHAN harus mati, maka tidak ada harapan lagi bagi kami!”