1 Bileam berkata kepada Raja Balak, “Binalah tujuh buah mazbah untuk hamba di sini, lalu sediakanlah tujuh ekor lembu jantan dan tujuh ekor domba jantan.”
2 Raja Balak mengabulkan permintaan Bileam. Lalu Raja Balak dan Bileam mempersembahkan seekor lembu jantan dan seekor domba jantan di atas tiap-tiap mazbah.
3 Kemudian Bileam berkata kepada Raja Balak, “Berdirilah di samping korban yang tuanku persembahkan. Sementara itu hamba akan pergi melihat sama ada TUHAN datang bertemu dengan hamba atau tidak. Hamba akan memberitahu tuanku segala sesuatu yang difirmankan TUHAN kepada hamba.” Bileam pergi seorang diri ke puncak sebuah bukit,
4 dan Allah menemui Bileam di situ. Bileam berkata kepada Allah, “Aku sudah membina tujuh buah mazbah dan mempersembahkan seekor lembu jantan dan seekor domba jantan di atas tiap-tiap mazbah.”
5 Kemudian TUHAN memberitahu Bileam apa yang harus dikatakannya, lalu menyuruh dia kembali kepada Raja Balak untuk menyampaikan pesan TUHAN kepada baginda.
6 Apabila Bileam kembali, dia mendapati Raja Balak masih berdiri bersama dengan semua pemimpin Moab, di samping korban-korban yang dipersembahkannya.
7 Kemudian Bileam mengucapkan nubuat ini,“Raja Balak, penguasa Moab sudah membawa hamba dari Siria,dari pergunungan di sebelah timur.‘Marilah,’ titahnya, ‘berucaplah bagi beta, kutuklah umat Israel.’
8 Bolehkah hamba mengutuk apa yang tidak dikutuk oleh Allah,atau menghukum apa yang tidak dihukum oleh TUHAN?
9 Dari puncak gunung aku nampak mereka,dari atas bukit aku memperhatikan mereka.Mereka suatu bangsa yang hidup tersendiri,mereka tahu, mereka diberkati lebih daripada bangsa lain.
10 Keturunan Israel bagaikan debu tidak terbilang;mereka terlalu banyak untuk dihitung.Semoga akhir hayat hamba seperti akhir hayat salah seorang umat Allah;semoga hamba meninggal dengan tenang seperti orang jujur.”
11 Kemudian Raja Balak berkata kepada Bileam, “Apakah yang sudah kamu lakukan kepada beta? Beta membawa kamu ke sini untuk mengutuk musuh beta, tetapi kamu memberkati mereka.”
12 Bileam menjawab, “Hamba hanya dapat mengucapkan apa yang disuruh oleh TUHAN.”
13 Kemudian Raja Balak bertitah kepada Bileam, “Marilah kita pergi ke tempat lain. Di sana kamu akan nampak hanya sebahagian daripada umat Israel. Dari sana, kutuklah mereka bagi beta.”
14 Raja Balak membawa Bileam ke padang Zofim, di puncak Gunung Pisga. Di sana Raja Balak juga membina tujuh buah mazbah dan mempersembahkan seekor lembu jantan dan seekor domba jantan di atas tiap-tiap mazbah.
15 Bileam berkata kepada Raja Balak, “Berdirilah di samping korban yang tuanku persembahkan, sementara hamba pergi menemui TUHAN di situ.”
16 TUHAN menemui Bileam dan memberitahu dia apa yang harus dikatakannya, lalu menyuruh dia kembali kepada Raja Balak untuk menyampaikan firman itu kepada baginda.
17 Apabila Bileam kembali, dia mendapati Raja Balak masih berdiri bersama dengan para pemimpin Moab, di samping korban-korban yang dipersembahkannya. Raja Balak bertanyakan firman TUHAN,
18 lalu Bileam mengucapkan nubuat ini,“Hai Raja Balak anak Zipor, dengarlah kata hamba.
19 Allah bukan manusia, Dia tidak berdusta;Allah bukan insan, Dia tidak mengubah fikiran.Apa yang dijanjikan-Nya akan dipenuhi-Nya;apa yang difirmankan-Nya pasti dilakukan-Nya.
20 Aku disuruh memberkati;apabila Allah memberkati,aku tidak dapat membatalkannya.
21 Tidak ada kesukaran pada masa depan Israel,tidak ada kesusahan pada masa depan mereka.TUHAN, Allah mereka menyertai mereka;Israel mengakui Dia sebagai raja.
22 Allah sudah memimpin mereka keluar dari Mesir,Allah berperang bagi mereka seperti lembu liar.
23 Tiada mantera ataupun ilmu sihiryang dapat menentang Israel.Orang akan berkata tentang Israel, ‘Lihatlah perbuatan Allah bagi mereka!’
24 Bangsa Israel bagaikan singa yang perkasa,yang tidak akan diam sehingga mangsa diterkamnya,dan darah mangsa itu diminumnya.”
25 Kemudian Raja Balak bertitah kepada Bileam, “Sudahlah, jika kamu tidak mahu mengutuk umat Israel, setidak-tidaknya jangan berkati mereka!”
26 Bileam menjawab, “Bukankah hamba sudah memberitahu tuanku bahawa hamba mesti melakukan apa yang diperintahkan TUHAN?”
27 Raja Balak bertitah, “Marilah kita pergi ke tempat lain. Mungkin di sana, Allah akan membenarkan kamu mengutuk umat Israel bagi beta.”
28 Oleh itu Raja Balak membawa Bileam ke puncak Gunung Peor yang menghadap padang gurun.
29 Bileam berkata kepada Raja Balak, “Binalah tujuh buah mazbah bagi hamba di sini, lalu bawalah tujuh ekor lembu jantan dan tujuh ekor domba jantan.”
30 Raja Balak mengabulkan permintaan Bileam, lalu mempersembahkan seekor lembu jantan dan seekor domba jantan di atas tiap-tiap mazbah.