8 Trompet-trompet itu harus ditiup oleh anak-anak lelaki Harun, imam-imam itu.Peraturan berikut harus dipatuhi sepanjang masa.
9 Apabila kamu berperang di tanah kamu untuk mempertahankan diri terhadap musuh yang menyerang kamu, tiuplah trompet-trompet itu untuk memberikan isyarat perang. Aku TUHAN, Allah kamu, akan menolong dan menyelamatkan kamu daripada musuh.
10 Demikian juga pada masa-masa kamu bersukaria; pada perayaan Bulan Baru dan perayaan-perayaan lain, tiuplah trompet-trompet itu ketika kamu mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati-Ku dan korban untuk memohon berkat-Ku, maka Aku akan menolong kamu. Akulah TUHAN, Allah kamu.”
11 Pada hari kedua puluh bulan kedua, pada tahun kedua selepas umat Israel meninggalkan Mesir, awan yang berada di atas Khemah TUHAN itu naik.
12 Lalu umat Israel berurutan berangkat meninggalkan Gurun Sinai. Kemudian awan itu berhenti di padang gurun Paran.
13 Itulah kali pertama mereka berangkat menurut perintah TUHAN melalui Musa.
14 Tiap-tiap kali mereka berangkat, mereka mengikut susunan yang sama. Orang yang di bawah panji kumpulan yang dipimpin oleh suku Yehuda berangkat dahulu, kelompok demi kelompok. Nahason anak Aminadab memimpin mereka.