25 Kemudian TUHAN turun di dalam awan dan berfirman kepada Musa. TUHAN mengambil sebahagian daripada kuasa yang sudah diberikan-Nya kepada Musa, lalu memberikan kuasa itu kepada tujuh puluh orang pemimpin itu. Ketika Roh TUHAN turun ke atas mereka, mereka mula berseru seperti nabi, tetapi tidak lama.
26 Dua daripada tujuh puluh orang pemimpin itu, iaitu Eldad dan Medad, tinggal di perkhemahan dan tidak pergi ke Khemah TUHAN. Di perkhemahan itu, Roh turun ke atas mereka dan mereka pun mula berseru seperti nabi.
27 Seorang pemuda lari keluar untuk memberitahu Musa tentang hal yang berlaku kepada Eldad dan Medad.
28 Kemudian Yosua anak Nun, yang telah membantu Musa sejak masa mudanya, berkata kepada Musa, “Tuan, suruhlah mereka diam!”
29 Musa menjawab, “Adakah engkau memikirkan hal aku? Aku sangat berharap agar TUHAN memberikan Roh-Nya kepada semua umat-Nya, dan menyebabkan mereka semua berseru seperti nabi!”
30 Selepas itu Musa dan para pemimpin Israel itu balik ke perkhemahan.
31 Tiba-tiba TUHAN mendatangkan angin dari laut; angin itu membawa burung-burung puyuh yang terbang rendah sekali, serendah kurang daripada satu meter dari permukaan tanah. Burung-burung itu berterbangan di atas perkhemahan dan di sekelilingnya sejauh beberapa kilometer.