23 TUHAN berfirman kepada Musa,
24 “Suruhlah semua orang itu menjauhi khemah Korah, Datan, dan Abiram.”
25 Kemudian Musa, disertai oleh para pemimpin Israel, pergi ke tempat Datan dan Abiram.
26 Musa berkata kepada semua orang Israel di situ, “Jauhilah khemah semua orang yang jahat ini dan jangan sentuh apa-apa pun milik mereka. Jika kamu tidak menurut, kamu akan dibinasakan bersama-sama mereka kerana semua dosa mereka.”
27 Maka mereka menjauhkan diri dari khemah Korah, Datan, dan Abiram.Datan dan Abiram sudah keluar dari khemah dan sedang berdiri di pintu khemah bersama-sama anak isteri mereka.
28 Musa berkata kepada semua orang di situ, “Inilah caranya kamu tahu bahawa TUHAN yang menyuruh aku melakukan segala perkara ini, dan bahawa aku tidak melakukannya menurut kehendakku sendiri.
29 Jika semua orang itu mati dengan cara biasa tanpa hukuman apa-apa daripada Allah, itulah tandanya TUHAN tidak mengutus aku.