3 lalu tulislah nama Harun pada tongkat yang mewakili suku Lewi. Tiap-tiap pemimpin suku harus ada sebatang tongkat.
4 Bawalah tongkat-tongkat itu ke dalam Khemah-Ku, dan letakkan semuanya di depan Tabut Perjanjian, tempat Aku bertemu dengan engkau.
5 Tongkat orang yang Kupilih akan bertunas. Dengan demikian Aku akan menghentikan sungutan orang Israel yang tidak putus-putus terhadap engkau.”
6 Oleh itu Musa memberitahu umat Israel tentang perkara itu. Kemudian tiap-tiap pemimpin mereka memberikan sebatang tongkat kepada Musa, iaitu satu batang daripada tiap-tiap suku. Kesemuanya dua belas batang, termasuk tongkat Harun.
7 Setelah itu Musa meletakkan semua tongkat itu di dalam Khemah TUHAN, di depan Tabut Perjanjian.
8 Keesokan harinya, ketika Musa masuk ke dalam Khemah TUHAN, dia melihat bahawa tongkat Harun, tongkat yang mewakili suku Lewi, sudah bertunas. Tongkat itu sudah berkudup, berbunga, dan menghasilkan beberapa buah badam yang tua.
9 Musa mengambil semua tongkat itu dan menunjukkannya kepada umat Israel. Mereka nampak apa yang sudah berlaku, lalu setiap pemimpin mengambil tongkat masing-masing.