Bilangan 19:13-19 BM

13 Sesiapa yang menyentuh mayat dan tidak menyucikan diri tetap najis, kerana air untuk upacara penyucian belum disiram ke atasnya. Orang itu menajiskan Khemah TUHAN, kerana itu dia tidak lagi dianggap anggota umat Allah.

14 Apabila seseorang mati di dalam sebuah khemah, sesiapa sahaja yang berada di dalam khemah itu, atau sesiapa sahaja yang masuk ke dalamnya akan menjadi najis selama tujuh hari.

15 Semua kendi dan periuk yang tidak bertudung di dalam khemah itu menjadi najis.

16 Setiap orang yang menyentuh mayat orang yang mati dibunuh, atau yang mati biasa di luar rumah, menjadi najis selama tujuh hari. Begitu juga orang yang menyentuh kubur atau tulang orang mati.

17 Untuk menyucikan orang yang najis itu, sedikit abu lembu betina merah yang dibakar untuk menghapuskan dosa, harus diambil. Abu itu mesti dimasukkan ke dalam sebuah periuk, lalu dituangi air yang diambil dari air yang mengalir.

18 Bagi hal yang pertama, iaitu apabila ada orang yang mati di dalam khemah, seorang yang tidak najis harus mengambil setangkai hisop dan mencelupkannya ke dalam air itu, lalu memercikkannya pada khemah serta semua barang dan orang yang ada di dalam khemah. Bagi hal yang kedua, iaitu apabila seseorang menyentuh mayat, kubur atau tulang orang mati, seorang yang tidak najis harus memercikkan air itu pada orang yang najis dengan cara yang sama juga.

19 Orang yang tidak najis harus memercikkan air itu pada orang yang najis, pada hari yang ketiga dan hari yang ketujuh. Pada hari yang ketujuh, selesailah upacara penyucian orang yang najis itu. Orang itu harus membasuh pakaiannya dan mandi. Mulai saat matahari terbenam orang itu menjadi suci.