Bilangan 19:17-22 BM

17 Untuk menyucikan orang yang najis itu, sedikit abu lembu betina merah yang dibakar untuk menghapuskan dosa, harus diambil. Abu itu mesti dimasukkan ke dalam sebuah periuk, lalu dituangi air yang diambil dari air yang mengalir.

18 Bagi hal yang pertama, iaitu apabila ada orang yang mati di dalam khemah, seorang yang tidak najis harus mengambil setangkai hisop dan mencelupkannya ke dalam air itu, lalu memercikkannya pada khemah serta semua barang dan orang yang ada di dalam khemah. Bagi hal yang kedua, iaitu apabila seseorang menyentuh mayat, kubur atau tulang orang mati, seorang yang tidak najis harus memercikkan air itu pada orang yang najis dengan cara yang sama juga.

19 Orang yang tidak najis harus memercikkan air itu pada orang yang najis, pada hari yang ketiga dan hari yang ketujuh. Pada hari yang ketujuh, selesailah upacara penyucian orang yang najis itu. Orang itu harus membasuh pakaiannya dan mandi. Mulai saat matahari terbenam orang itu menjadi suci.

20 Sesiapa yang menjadi najis tetapi tidak melakukan upacara penyucian diri, akan tetap najis kerana air untuk upacara penyucian belum disiram ke atasnya. Orang itu menajiskan Khemah TUHAN dan tidak lagi dianggap anggota umat Allah.

21 Kamu harus mematuhi peraturan ini selama-lamanya. Orang yang memercikkan air untuk upacara penyucian itu mesti membasuh pakaiannya. Sesiapa yang menyentuh air untuk upacara penyucian itu menjadi najis sehingga matahari terbenam.

22 Apa sahaja yang disentuh oleh seorang yang najis akan menjadi najis, dan orang lain yang menyentuhnya juga menjadi najis sehingga matahari terbenam.