8 Orang yang membakar lembu itu mesti mencuci pakaiannya dan mandi, tetapi dia juga tetap najis sehingga matahari terbenam.
9 Selepas itu seorang yang tidak najis harus mengumpulkan abu lembu tadi dan meletakkannya di luar perkhemahan, di suatu tempat yang tidak najis. Abu itu disimpan di situ supaya umat Israel dapat menggunakannya untuk menyediakan air bagi upacara penyucian. Upacara itu dilakukan untuk menghapuskan dosa.
10 Orang yang mengumpulkan abu itu mesti mencuci pakaiannya, tetapi dia tetap najis sehingga matahari terbenam. Peraturan ini berlaku selama-lamanya bagi umat Israel mahupun orang asing yang tinggal di kalangan mereka.
11 Sesiapa yang menyentuh mayat menjadi najis selama tujuh hari.
12 Pada hari ketiga dan hari ketujuh, orang itu harus menyucikan diri dengan air upacara penyucian, barulah dia menjadi suci. Tetapi jika dia tidak menyucikan diri pada hari ketiga dan hari ketujuh, dia tetap najis.
13 Sesiapa yang menyentuh mayat dan tidak menyucikan diri tetap najis, kerana air untuk upacara penyucian belum disiram ke atasnya. Orang itu menajiskan Khemah TUHAN, kerana itu dia tidak lagi dianggap anggota umat Allah.
14 Apabila seseorang mati di dalam sebuah khemah, sesiapa sahaja yang berada di dalam khemah itu, atau sesiapa sahaja yang masuk ke dalamnya akan menjadi najis selama tujuh hari.