1 Pada bulan yang pertama, segenap umat Israel tiba di padang gurun Zin, lalu mereka berkhemah di Kades. Di situlah Miryam meninggal dan dikebumikan.
2 Pada suatu masa di tempat umat Israel berkhemah, tidak terdapat air. Oleh itu mereka berkumpul di sekeliling Musa dan Harun,
3 sambil bersungut-sungut, “Lebih baik kami mati bersama dengan saudara-saudara kami di hadapan Khemah TUHAN.
4 Mengapa kamu membawa kami ke padang gurun ini? Adakah kamu mahu kami mati di sini bersama dengan ternakan kami?
5 Mengapa kamu membawa kami keluar dari Mesir, lalu pergi ke tempat celaka yang tidak dapat ditanami apa-apa? Di sini tidak ada gandum, buah ara, buah anggur, ataupun buah delima. Bahkan air minum pun tidak ada!”
6 Musa dan Harun menjauhi umat itu, lalu berdiri di pintu Khemah TUHAN. Mereka bersujud, lalu cahaya hadirat TUHAN menyinari mereka.