1 Arad ialah sebuah kota di bahagian selatan tanah Kanaan. Ketika raja kota itu mendengar bahawa umat Israel datang melalui jalan Atarim, raja itu pergi menyerang mereka dan menawan beberapa orang.
2 Kemudian umat Israel bernazar kepada TUHAN. Mereka berkata, “Ya TUHAN, jika Engkau membenarkan kami mengalahkan penduduk negeri ini, kami akan memusnahkan kota-kota mereka serta penduduk kota, sebagai tanda bahawa semuanya milik-Mu.”
3 TUHAN mengabulkan permintaan umat Israel, dan menolong mereka mengalahkan orang Kanaan. Umat Israel membinasakan semua orang Kanaan dan kota-kota mereka. Umat Israel menamakan tempat itu Horma.
4 Kemudian umat Israel meninggalkan Gunung Hor dan mengikut jalan yang menuju ke Teluk Akaba untuk mengelilingi tanah Edom. Tetapi di tengah jalan mereka hilang sabar,
5 lalu bersungut-sungut terhadap Allah dan Musa. Mereka berkata, “Mengapakah kamu membawa kami keluar dari Mesir untuk mati di padang gurun ini? Di sini tidak ada makanan ataupun air. Kami muak dengan makanan yang tawar ini!”
6 Kemudian TUHAN mendatangkan ular-ular berbisa di tengah-tengah mereka dan banyak orang Israel mati dipatuk ular.