16 Mereka pergi kepada Bileam dan menyampaikan pesan Raja Balak ini kepadanya, “Beta mohon, datanglah dan jangan tolak jemputan beta.
17 Beta akan memberikan upah yang banyak sekali dan mengabulkan apa sahaja yang kamu minta. Datanglah dan kutuklah umat itu bagi beta.”
18 Tetapi Bileam menjawab, “Walaupun Raja Balak memberi saya segala perak dan emas di istananya, saya tidak dapat membantah perintah TUHAN, Allah yang saya sembah, bahkan dalam hal yang terkecil sekalipun.
19 Tetapi baiklah kamu bermalam di sini, seperti yang dilakukan oleh para utusan dahulu. Saya ingin tahu sama ada TUHAN masih ada pesan yang hendak difirmankan-Nya kepada saya.”
20 Pada malam itu Allah berfirman kepada Bileam, “Semua orang itu sudah datang untuk meminta engkau pergi dengan mereka. Oleh itu bersiap-siaplah untuk pergi, tetapi hanya lakukan apa yang Aku firmankan kepadamu.”
21 Keesokan paginya Bileam memasang pelana pada keldainya, lalu pergi bersama-sama para pemimpin Moab itu.
22 Allah murka kerana Bileam berangkat. Sementara Bileam menunggang keldainya, diiringi oleh dua orang hambanya, malaikat TUHAN berdiri di tengah jalan untuk menghalangi dia.