21 Keesokan paginya Bileam memasang pelana pada keldainya, lalu pergi bersama-sama para pemimpin Moab itu.
22 Allah murka kerana Bileam berangkat. Sementara Bileam menunggang keldainya, diiringi oleh dua orang hambanya, malaikat TUHAN berdiri di tengah jalan untuk menghalangi dia.
23 Apabila keldai itu nampak malaikat TUHAN berdiri di situ sambil memegang sebilah pedang, keldai itu menyimpang ke ladang. Bileam memukul keldainya dan menuntunnya kembali ke jalan.
24 Kemudian malaikat TUHAN berdiri di bahagian jalan yang sempit, di antara dua kebun anggur dengan tembok batu di sebelah-menyebelah.
25 Apabila keldai itu nampak malaikat di situ, keldai itu minggir sehingga kaki Bileam terjepit ke tembok. Sekali lagi Bileam memukul keldainya.
26 Malaikat TUHAN maju lagi dan berdiri di tempat yang lebih sempit, sehingga tidak ada jalan untuk menyimpang ke kanan atau ke kiri.
27 Kali ini, ketika keldai itu nampak malaikat TUHAN, keldai itu merebahkan badan. Bileam naik marah lalu memukul keldai itu dengan tongkatnya.