12-13 “Sekarang orang Lewi menjadi milik-Ku. Ketika Aku membunuh semua anak lelaki sulung orang Mesir, Aku telah mentahbiskan semua anak lelaki sulung keluarga Israel untuk menjadi milik-Ku sendiri, dan juga tiap-tiap anak jantan sulung ternakan. Tetapi sekarang Aku mengambil orang Lewi menjadi milik-Ku sebagai pengganti semua anak lelaki sulung Israel; orang Lewi akan menjadi milik-Ku. Akulah TUHAN.”
14 Di Gurun Sinai, TUHAN memberikan perintah kepada Musa
15 untuk mendaftarkan orang Lewi menurut puak dan keluarga masing-masing; nama tiap-tiap anak lelaki yang berumur satu bulan ke atas harus didaftarkan.
16 Musa menjalankan perintah itu.
17-20 Lewi mempunyai tiga orang anak lelaki: Gerson, Kehat, dan Merari. Mereka ialah nenek moyang semua puak yang disebut dengan nama mereka. Gerson mempunyai dua orang anak lelaki, Libni dan Simei. Kehat mempunyai empat orang anak lelaki: Amram, Yizhar, Hebron, dan Uziel. Merari mempunyai dua orang anak lelaki, Mahli dan Musi. Mereka ialah nenek moyang semua keluarga yang disebut dengan nama mereka.
21 Puak Gerson terdiri daripada keluarga Libni dan keluarga Simei.
22 Kaum lelaki mereka yang berumur satu bulan ke atas yang didaftarkan, berjumlah 7,500 orang.