16 Suku Ruben dan suku Gad menghadap Musa dan berkata, “Mula-mula benarkanlah kami membina kandang bertembok batu untuk domba kami dan kota bertembok untuk anak isteri kami.
17 Setelah itu kami bersedia mengikut sesama bangsa kami maju berperang. Kami akan memimpin serangan itu sehingga kami membantu mereka menetap di tanah yang menjadi milik mereka. Sementara itu anak isteri kami dapat tinggal di sini, di dalam kota-kota yang bertembok dan selamat daripada serangan penduduk negeri ini.
18 Kami tidak akan kembali ke rumah sebelum semua orang Israel mempunyai tanah sebagai milik pusaka.
19 Kami tidak akan mengambil sedikit pun daripada tanah di seberang Sungai Yordan, kerana kami sudah menerima bahagian kami di sebelah timur Sungai Yordan.”
20 Musa menjawab, “Jika kamu sungguh-sungguh menepati janji kamu, bersedialah untuk berperang bagi TUHAN.
21 Semua orang kamu yang dapat berperang harus menyeberang Sungai Yordan; demi perintah TUHAN, mereka harus menyerang musuh kita sehingga TUHAN mengalahkan musuh,
22 lalu merebut tanah itu. Selepas itu kamu boleh pulang, kerana kamu sudah menunaikan kewajipan kamu terhadap TUHAN dan sesama bangsa kamu orang Israel. Oleh itu TUHAN akan mengakui bahawa tanah di sebelah timur Sungai Yordan ini milik kamu.