10 supaya memberitahu umat Israel, “Apabila kamu menyeberang Sungai Yordan dan pergi ke tanah Kanaan,
11 pilihlah beberapa buah kota perlindungan, supaya sesiapa yang membunuh orang dengan tidak sengaja, dapat lari ke kota itu.
12 Di situ dia akan selamat daripada sanak saudara orang yang terbunuh, yang mahu membalas dendam. Seseorang yang dituduh membunuh orang, tidak boleh dihukum mati sehingga orang itu diadili di hadapan orang ramai.
13 Pilihlah enam buah kota perlindungan,
14 tiga buah di sebelah timur Sungai Yordan dan tiga buah lagi di tanah Kanaan.
15 Kota-kota itu akan menjadi kota perlindungan bagi orang Israel dan orang asing yang menumpang ataupun yang menetap di tanah itu. Sesiapa yang sudah membunuh orang dengan tidak sengaja, boleh lari ke salah satu kota perlindungan itu.
16-18 Tetapi jika seseorang menggunakan senjata besi, atau senjata batu, atau senjata kayu untuk membunuh orang, dia bersalah dan mesti dihukum mati.