1 Ketua-ketua keluarga puak Gilead anak Makhir, iaitu cucu Manasye anak Yusuf, menghadap Musa dan pemimpin-pemimpin yang lain.
2 Mereka berkata, “TUHAN sudah memerintah tuan membahagikan tanah Kanaan kepada umat Israel dengan membuang undi. TUHAN sudah memerintahkan juga supaya tuan memberikan warisan Zelafehad, saudara kami, kepada anak-anak perempuannya.
3 Tetapi ingatlah, jika anak-anak perempuannya itu berkahwin dengan lelaki daripada suku lain, warisan mereka akan dimiliki suku lain. Oleh yang demikian, kuranglah tanah wilayah yang ditentukan bagi kami.
4 Pada Tahun Pengembalian, pada masa seluruh harta milik yang telah dijual dikembalikan kepada pemilik yang mula-mula, tanah warisan anak-anak perempuan Zelafehad itu akan menjadi pusaka suku orang yang dikahwini mereka. Dengan demikian suku kami akan kehilangan tanah itu.”
5 Oleh itu Musa memberi umat Israel perintah TUHAN ini. Musa berkata, “Apa yang dikatakan oleh suku Manasye itu memang benar.
6 Inilah perintah TUHAN: Anak-anak perempuan Zelafehad berhak berkahwin dengan sesiapa pun, asal orang yang dikahwini itu daripada suku mereka sendiri.
7 Warisan tiap-tiap orang Israel akan tetap menjadi warisan sukunya.