9 Mereka harus mengambil sehelai kain biru dan menutup kaki pelita serta pelita-pelitanya, penyepit untuk membersihkan sumbu pelita, dulang, dan semua bekas untuk minyak zaitun.
10 Mereka harus membungkus kaki pelita itu serta peralatannya dengan sehelai kulit halus, lalu meletakkan semuanya di atas usungan.
11 Selepas itu mereka harus membentangkan sehelai kain biru di atas mazbah emas, dan menutupnya dengan sehelai kulit halus. Kemudian mereka harus memasangkan kayu pengusung mazbah itu.
12 Mereka harus mengambil semua alat yang digunakan di dalam Bilik Suci, dan membungkus semuanya dengan sehelai kain biru. Mereka harus menutup semuanya dengan sehelai kulit halus, lalu meletakkan semua itu di atas usungan.
13 Mereka harus membersihkan mazbah daripada abu yang berminyak, lalu membentangkan sehelai kain ungu di atasnya.
14 Di atas mazbah itu, mereka harus meletakkan segala alat yang digunakan dalam ibadat di mazbah: perbaraan, garpu, penyodok, dan besen. Mereka harus menutup semua itu dengan kulit halus, lalu memasangkan kayu pengusung mazbah.
15 Pada masa menggulung khemah, puak Kehat akan mengangkat benda-benda yang suci hanya setelah Harun dan anak-anak lelakinya menutup semua benda itu serta peralatannya. Puak Kehat tidak boleh menyentuh benda-benda yang suci itu. Jika mereka menyentuhnya, mereka akan mati.Itulah tugas puak Kehat apabila Khemah TUHAN dipindahkan.