Bilangan 6:10-16 BM

10 Pada hari kelapan, dia harus membawa dua ekor burung tekukur atau dua ekor burung merpati kepada imam di pintu Khemah TUHAN.

11 Imam itu akan mempersembahkan seekor burung sebagai korban untuk mengampunkan dosa, dan seekor lagi sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Imam akan melakukan upacara penyucian untuk orang itu kerana dia telah menghampiri mayat. Pada hari itu juga, orang itu harus mengekhaskan rambutnya semula kepada TUHAN,

12 dan membaharui nazarnya kepada TUHAN sebagai orang Nazir selama masa yang ditentukan. Jangka waktu yang lampau itu tidak dihitung lagi kerana rambutnya yang sudah dikhaskan telah menjadi najis. Sebagai korban untuk membayar ganti rugi, orang itu harus mempersembahkan seekor anak domba yang berumur satu tahun.

13 Apabila seorang Nazir menyelesaikan nazarnya, dia harus melakukan upacara yang berikut. Dia harus pergi ke pintu Khemah TUHAN

14 dan mempersembahkan tiga ekor binatang yang tidak ada cacat kepada TUHAN: seekor anak domba jantan yang berumur satu tahun bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN, seekor anak domba betina berumur satu tahun sebagai korban untuk mengampunkan dosa, dan seekor domba jantan sebagai korban untuk memohon berkat TUHAN.

15 Dia juga harus mempersembahkan satu bakul roti tanpa ragi: roti tebal yang dicampuri minyak zaitun, dan roti tipis yang disapu dengan minyak zaitun. Dia juga harus mempersembahkan korban untuk mengucap syukur dan korban wain, sebagaimana yang sudah ditetapkan.

16 Imam harus mempersembahkan semua itu kepada TUHAN, dan juga korban untuk mengampunkan dosa dan korban untuk menyenangkan hati TUHAN.