13 Seseorang yang tidak najis dan bukan dalam perjalanan jauh, tetapi tidak merayakan Paska, tidak lagi dianggap anggota umat-Ku kerana dia tidak mempersembahkan korban kepada-Ku pada waktu yang ditetapkan. Dia mesti menanggung akibat dosanya.
14 Jika ada seorang asing yang tinggal di kalangan kamu yang mahu merayakan Paska, dia harus merayakannya menurut semua peraturan. Hukum yang sama berlaku bagi setiap orang, baik orang Israel mahupun orang asing.”
15-16 Pada hari Khemah TUHAN dipasang, awan datang menutupi Khemah itu. Pada waktu malam awan itu kelihatan seperti api.
17 Tiap-tiap kali awan itu naik, umat Israel menggulung khemah lalu berangkat. Di mana sahaja awan itu turun, di tempat itulah mereka memasang khemah.
18 Dengan perintah TUHAN, umat itu menggulung khemah, dan dengan perintah-Nya juga mereka memasang khemah. Selama awan itu berada di atas Khemah TUHAN, mereka tetap tinggal di tempat itu.
19 Jika awan itu lama berada di atas Khemah TUHAN, mereka taat kepada TUHAN dan tidak berpindah.
20 Ada kalanya awan itu berada di atas Khemah TUHAN selama beberapa hari sahaja. Bagaimana pun, hanya perintah TUHAN yang menentukan sama ada mereka tinggal di satu tempat ataupun berpindah.