1 Pada suatu hari Nadab dan Abihu, anak-anak Harun, membawa perbaraan masing-masing dan mengisinya dengan bara api. Mereka membubuh kemenyan ke atas bara api itu, lalu mempersembahkannya kepada TUHAN. Tetapi api itu tidak suci, kerana TUHAN tidak memerintahkan mereka untuk mempersembahkannya.
2 Tiba-tiba TUHAN mengirim api, yang membakar mereka sehingga mati di situ juga, di dalam Khemah TUHAN.
3 Kemudian Musa berkata kepada Harun, “Inilah yang dimaksudkan TUHAN ketika Dia berfirman, ‘Semua orang yang mengabdikan diri kepada-Ku harus menghormati kesucian-Ku. Aku akan menyatakan kemuliaan-Ku kepada segenap umat-Ku.’ ” Tetapi Harun diam sahaja.
4 Kemudian Musa memanggil Misael dan Elsafan, anak-anak Uziel, bapa saudara Harun. Musa berkata kepada mereka, “Mari, bawalah jenazah saudara sepupu kamu ini keluar dari Khemah TUHAN, dan letakkan kedua-dua jenazah itu di luar perkhemahan.”
5 Mereka datang dan mengangkat jenazah itu dengan memegang pakaian jenazah itu, lalu pergi ke luar perkhemahan, sebagaimana yang diperintahkan oleh Musa.
6 Selepas itu Musa berkata kepada Harun dan anak-anaknya, Eleazar dan Itamar, “Jangan biarkan rambut kamu kusut, dan jangan koyakkan pakaian kamu sebagai tanda berkabung. Jika kamu berbuat demikian, kamu akan mati dan TUHAN akan murka terhadap segenap umat ini. Tetapi semua orang Israel yang lain boleh berkabung untuk kematian mereka berdua; mereka mati kerana kena api yang diturunkan oleh TUHAN.