Imamat 15 BM

Kenajisan pada Manusia

1 TUHAN memberikan peraturan-peraturan berikut kepada Musa dan Harun

2 untuk umat Israel. Apabila lelehan keluar daripada seseorang lelaki kerana penyakit kelamin, lelehan itu najis,

3 sama ada lelehan itu mengalir ataupun tertahan, orang itu najis.

4 Katil tempat lelaki itu duduk atau tidur juga najis.

5 Sesiapa yang menyentuh katil lelaki yang mengeluarkan lelehan itu,

6 ataupun duduk di atas apa sahaja yang sudah diduduki lelaki itu, mesti mencuci pakaiannya dan mandi, dan dia tetap najis sehingga matahari terbenam.

7 Sesiapa menyentuh lelaki yang mengeluarkan lelehan, mesti mencuci pakaiannya serta mandi, dan orang itu tetap najis sehingga matahari terbenam.

8 Jika lelaki yang mengeluarkan lelehan meludahi seseorang yang tahir, orang yang tahir itu mesti mencuci pakaiannya serta mandi, dan dia tetap najis sehingga matahari terbenam.

9 Pelana atau apa sahaja yang diduduki lelaki yang mengeluarkan lelehan juga menjadi najis.

10 Sesiapa yang menyentuh apa sahaja yang sudah diduduki lelaki itu, dia juga menjadi najis sehingga matahari terbenam. Sesiapa yang mengangkat apa sahaja yang sudah diduduki orang itu mesti mencuci pakaiannya serta mandi, dan dia tetap najis sehingga matahari terbenam.

11 Jika seorang lelaki yang mengeluarkan lelehan menyentuh orang lain sebelum dia mencuci tangannya, orang yang disentuh itu mesti mencuci pakaiannya serta mandi, dan dia tetap najis sehingga matahari terbenam.

12 Setiap belanga yang disentuh lelaki yang mengeluarkan lelehan mesti dipecahkan, dan setiap bekas daripada kayu yang disentuhnya mesti dicuci.

13 Selepas lelaki itu sembuh, dia harus menunggu sehingga tujuh hari, lalu mencuci pakaiannya dan mandi dengan air dari mata air, barulah dia tahir.

14 Pada hari kelapan, lelaki itu harus membawa dua ekor burung merpati atau dua ekor burung tekukur ke pintu Khemah TUHAN, lalu memberikan semuanya kepada imam.

15 Imam akan mempersembahkan seekor daripada burung itu sebagai korban untuk mengampunkan dosa dan seekor lagi sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Dengan cara ini imam melakukan upacara penyucian untuk orang itu di hadapan TUHAN.

16 Apabila mani keluar daripada seseorang lelaki, dia harus mandi, tetapi dia tetap najis sehingga matahari terbenam.

17 Apa sahaja yang dibuat daripada kain atau kulit yang terkena mani harus dicuci, dan benda itu tetap najis sehingga matahari terbenam.

18 Setelah bersetubuh, baik lelaki mahupun perempuan harus mandi, dan mereka tetap najis sehingga matahari terbenam.

19 Apabila seorang perempuan sedang haid, dia najis selama tujuh hari. Sesiapa yang menyentuh dia menjadi najis sehingga matahari terbenam.

20 Apa sahaja yang diduduki atau ditiduri perempuan itu ketika dia haid, benda itu pun menjadi najis.

21-23 Sesiapa yang menyentuh katil perempuan itu atau apa sahaja yang sudah didudukinya, orang itu mesti mencuci pakaiannya serta mandi, dan dia tetap najis sehingga matahari terbenam.

24 Jika seorang lelaki bersetubuh perempuan yang sedang haid, lelaki itu dicemari oleh kenajisan perempuan itu, maka lelaki itu pun menjadi najis selama tujuh hari. Setiap tempat tidur yang ditiduri lelaki itu juga menjadi najis.

25 Jika seorang perempuan mengalami pendarahan selama beberapa hari di luar masa haidnya, atau jika pendarahannya belum berhenti sesudah masa haidnya yang biasa, dia menjadi najis selama pendarahan itu, seperti pada masa dia haid.

26 Setiap tempat tidur yang ditidurinya, atau apa sahaja yang didudukinya pada masa itu pun menjadi najis.

27 Sesiapa yang menyentuh benda itu menjadi najis dan mesti mencuci pakaiannya dan mandi; orang itu tetap najis sehingga matahari terbenam.

28 Setelah pendarahan perempuan itu berhenti, dia harus menunggu selama tujuh hari, barulah dia tahir.

29 Pada hari kelapan, dia harus membawa dua ekor burung merpati atau dua ekor burung tekukur kepada imam di pintu Khemah TUHAN.

30 Imam itu akan mempersembahkan seekor daripada burung itu sebagai korban untuk mengampunkan dosa dan seekor lagi sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Dengan cara ini imam melakukan upacara penyucian bagi perempuan itu.

31 Demikianlah TUHAN menyuruh Musa memperingatkan umat Israel supaya memperhatikan masa mereka najis, supaya mereka tidak menajiskan Khemah TUHAN yang di tengah-tengah mereka. Jika mereka menajiskan Khemah TUHAN, mereka akan mati.

32-33 Demikianlah peraturan-peraturan tentang orang yang mengeluarkan lelehan kerana penyakit kelamin, dan tentang lelaki yang mengeluarkan mani, dan tentang perempuan yang sedang haid, dan tentang lelaki yang bersetubuh dengan perempuan yang najis.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24 25 26 27