Imamat 19 BM

Hukum tentang Kesucian dan Keadilan

1 TUHAN menyuruh Musa

2 memberitahu umat Israel, “Kamu harus suci kerana Aku TUHAN, Allah kamu suci.

3 Tiap-tiap orang harus menghormati ibu dan bapanya, serta merayakan hari Sabat sebagaimana yang sudah Aku perintahkan. Akulah TUHAN, Allah kamu.

4 Jangan sembah berhala. Jangan buat patung berhala daripada logam dan jangan sembahnya. Akulah TUHAN, Allah kamu.

5 Apabila kamu menyembelih binatang bagi korban untuk memohon berkat TUHAN, patuhilah peraturan yang sudah Aku berikan kepada kamu, supaya Aku menerima persembahan kamu.

6 Dagingnya harus dimakan pada hari binatang itu disembelih atau pada hari esoknya. Daging yang tertinggal pada hari ketiga mesti dibakar,

7 kerana daging itu haram. Jika sesiapa memakannya, persembahan itu tidak Aku terima.

8 Sesiapa yang memakannya bersalah, kerana dia memperlakukan apa yang sudah dipersembahkan kepada-Ku itu sebagai makanan biasa; orang itu tidak lagi dianggap sebagai anggota umat-Ku.

9 Apabila kamu menuai hasil tanaman, jangan tuai hasil tanaman yang tumbuh di tepi ladang. Jangan kembali ke ladang untuk menuai hasil tanaman yang tertinggal setelah dituai.

10 Jangan kumpulkan buah anggur yang tertinggal selepas kamu memetiknya pada kali pertama; jangan pungut buah anggur yang sudah jatuh. Tinggalkanlah semua itu untuk orang miskin dan orang asing. Akulah TUHAN, Allah kamu.

11 Jangan curi apa pun; jangan tipu sesiapa pun; jangan berdusta.

12 Jangan berjanji demi nama-Ku jika kamu tidak bermaksud menepati janji itu. Perbuatan demikian menghina nama-Ku. Akulah TUHAN, Allah kamu.

13 Jangan perdayakan orang, dan jangan rompak sesiapa pun. Jangan tahan upah orang yang sudah bekerja untukmu, jangan tahan upahnya walaupun untuk satu malam.

14 Jangan kutuk orang tuli, dan jangan letakkan batu sandungan di hadapan orang buta sehingga dia jatuh. Kamu harus takut akan Aku; Akulah TUHAN, Allah kamu.

15 Jangan berlaku curang apabila kamu mengadili perkara orang. Jangan berlaku berat sebelah, sama ada terhadap orang yang miskin ataupun yang kaya.

16 Jangan sebarkan fitnah tentang orang lain. Apabila seseorang diadili, jangan berikan kesaksian palsu yang menyebabkan orang itu dihukum mati. Akulah TUHAN.

17 Jangan berdendam terhadap sesiapa pun. Selesaikanlah perselisihan kamu dengan dia, supaya kamu tidak berdosa kerana orang itu.

18 Jangan balas dendam terhadap sesiapa pun, atau terus-menerus membenci orang. Kasihilah sesama kamu sebagaimana kamu mengasihi diri kamu sendiri. Akulah TUHAN.

19 Patuhilah perintah-Ku. Jangan kahwinkan dua ekor binatang yang berlainan jenis. Jangan tabur dua jenis benih di ladang yang sama. Jangan pakai pakaian yang ditenun daripada dua jenis benang.

20 Jika seorang abdi perempuan dijanjikan kepada seorang lelaki untuk menjadi gundiknya, tetapi perempuan itu belum dibayar, dan jika seorang lelaki lain bersetubuh dengan abdi itu, mereka berdua harus dihukum, tetapi tidak dihukum mati kerana perempuan itu masih abdi.

21 Lelaki itu harus membawa seekor domba jantan ke pintu Khemah TUHAN sebagai korban untuk membayar ganti rugi.

22 Imam akan mempersembahkan domba itu dalam upacara penyucian untuk menghapuskan dosa orang itu, maka Allah akan mengampuni dia.

23 Apabila kamu masuk ke negeri Kanaan lalu menanam pokok buah jenis apa sahaja, anggaplah buah pokok itu haram selama tiga tahun yang pertama, dan kamu tidak boleh memakannya.

24 Pada tahun keempat, semua buahnya harus dikhaskan sebagai persembahan untuk menyatakan kesyukuran kamu kepada-Ku, TUHAN.

25 Pada tahun kelima, barulah kamu boleh makan buah pokok itu. Jika kamu berbuat demikian, pokok-pokok buah kamu akan berbuah lebih banyak lagi. Akulah TUHAN, Allah kamu.

26 Jangan makan daging yang masih berdarah. Jangan lakukan ilmu sihir apa pun.

27 Jangan gunting rambut di pelipis kamu atau gunting janggut kamu.

28 Jangan rajah kulit kamu, atau lukai tubuh kamu sebagai tanda berkabung bagi orang mati. Akulah TUHAN.

29 Jangan permalukan anak perempuan kamu dengan menjadikan mereka pelacur di kuil. Jika kamu berbuat demikian, negeri kamu akan tercemar dan perbuatan keji akan merajalela di situ.

30 Rayakanlah hari Sabat dan hormatilah tempat Aku disembah. Akulah TUHAN.

31 Jangan minta nasihat daripada orang yang berhubung dengan roh-roh orang mati. Jika kamu berbuat demikian, kamu akan menjadi najis. Akulah TUHAN, Allah kamu.

32 Seganilah dan hormatilah orang yang sudah tua. Kamu harus hormat dan takut akan Aku, kerana Akulah TUHAN.

33 Jangan tindas orang asing yang tinggal di negeri kamu.

34 Perlakukanlah mereka seperti kamu memperlakukan orang kamu sendiri, dan kasihilah mereka seperti kamu mengasihi diri kamu sendiri. Ingatlah bahawa kamu pun pernah hidup sebagai orang asing di negeri Mesir. Akulah TUHAN, Allah kamu.

35 Jangan tipu sesiapa pun dengan menggunakan ukuran, timbangan, atau sukatan yang salah.

36 Gunakanlah neraca, timbangan, dan ukuran yang betul. Akulah TUHAN, Allah kamu; Aku sudah membawa kamu keluar dari negeri Mesir.

37 Patuhilah hukum dan perintah-Ku; Akulah TUHAN.”

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24 25 26 27