Imamat 18 BM

Perhubungan Jenis yang Dilarang

1 TUHAN menyuruh Musa

2 memberitahu umat Israel firman ini, “Akulah TUHAN, Allah kamu.

3 Jangan ikut perbuatan orang di Mesir, negeri tempat kamu tinggal dahulu, dan jangan ikut perbuatan orang di Kanaan, tempat Aku sedang membawa kamu.

4 Patuhilah segala hukum-Ku dan lakukanlah apa yang Aku perintahkan. Akulah TUHAN, Allah kamu.

5 Turutilah segala hukum dan perintah yang Aku berikan kepada kamu. Orang yang melaksanakannya akan selamat. Akulah TUHAN.”

6 TUHAN memberikan peraturan-peraturan berikut. Jangan bersetubuh dengan saudara mara kamu.

7 Jangan hina bapa kamu dengan menyetubuhi ibu kamu. Jangan hina ibu kamu sendiri.

8 Jangan hina bapa kamu dengan menyetubuhi salah seorang isterinya.

9 Jangan bersetubuh dengan saudara perempuan kamu, sama ada saudara sekandung ataupun saudara tiri, sama ada yang dibesarkan serumah dengan kamu ataupun yang dibesarkan di rumah lain.

10 Jangan bersetubuh dengan cucu perempuan kamu. Hal ini akan menghina diri kamu sendiri.

11 Jangan bersetubuh dengan saudara perempuan kamu, sama ada yang sebapa lain ibu atau seibu lain bapa, kerana dia juga saudara kamu.

12-13 Jangan bersetubuh dengan mak cik kamu, sama ada saudara bapa ataupun saudara ibu kamu.

14 Jangan bersetubuh dengan isteri pak cik kamu; dia juga mak cik kamu.

15 Jangan bersetubuh dengan menantu perempuan kamu

16 atau dengan ipar perempuan kamu.

17 Jangan bersetubuh dengan anak perempuan atau cucu perempuan seorang wanita yang pernah bersetubuh dengan kamu. Mereka mungkin bersanak dengan kamu, dan hal itu perbuatan yang keji.

18 Jangan kahwin dengan saudara perempuan isteri kamu selama isteri kamu masih hidup.

19 Jangan bersetubuh dengan perempuan yang sedang haid, kerana perempuan itu najis.

20 Jangan bersetubuh dengan isteri orang lain, perbuatan itu akan menjadikan kamu najis.

21 Jangan serahkan salah seorang anak kamu untuk dipersembahkan sebagai korban kepada Dewa Molokh, kerana perbuatan itu menghina nama Allah kamu, iaitu TUHAN.

22 Orang lelaki tidak boleh bersemburit. Allah membenci perbuatan itu.

23 Lelaki mahupun perempuan, tidak boleh melakukan hubungan jenis dengan binatang. Perbuatan yang keji itu menajiskan kamu.

24 Jangan najiskan diri kamu dengan perbuatan itu. Dengan cara itulah bangsa-bangsa yang tinggal di negeri Kanaan sebelum kamu, telah menajiskan diri mereka. Itulah sebabnya TUHAN mengusir mereka supaya kamu boleh tinggal di negeri itu.

25 Perbuatan mereka menajiskan negeri itu. Itulah sebabnya TUHAN menghukum negeri itu kerana perbuatan keji yang dilakukan oleh penduduk negeri itu.

26-27 Mereka melakukan segala perbuatan keji serta menajiskan negeri itu, tetapi kamu tidak boleh berbuat demikian. Kamu semua, sama ada orang Israel mahupun orang asing, mesti patuh kepada hukum dan perintah TUHAN.

28 Dengan demikian kamu tidak akan diusir dari negeri itu sebagaimana bangsa-bangsa yang tinggal di sana diusir dahulu.

29 Ketahuilah, sesiapa yang melakukan perbuatan keji itu, tidak lagi dianggap sebagai anggota umat Allah.

30 TUHAN berfirman, “Patuhilah perintah-Ku dan jangan ikut perbuatan orang yang tinggal di negeri itu dahulu. Jangan najiskan diri kamu dengan melakukan perbuatan itu. Akulah TUHAN, Allah kamu.”

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24 25 26 27