Imamat 4 BM

Korban bagi Dosa yang Tidak Disengaja

1 TUHAN memerintah Musa

2 supaya memberitahu orang Israel bahawa jika seseorang berdosa dan melanggar salah satu perintah TUHAN dengan tidak sengaja, orang itu harus mematuhi peraturan berikut.

3 Jika Imam Agung yang berdosa, sehingga menyebabkan semua orang Israel bersalah, dia harus mempersembahkan seekor lembu jantan muda yang tidak ada kecacatan kepada TUHAN, supaya dosanya diampunkan.

4 Imam Agung harus membawa lembu jantan itu ke pintu Khemah TUHAN, meletakkan tangannya di atas kepala lembu itu, lalu menyembelihnya di hadapan Khemah.

5 Kemudian Imam Agung itu harus mengambil sebahagian daripada darah lembu jantan itu dan membawanya ke dalam Khemah.

6 Dia harus mencelupkan jarinya ke dalam darah itu, lalu memercikkan darah itu tujuh kali di hadapan tirai yang memisahkan Bilik Suci.

7 Kemudian dia harus menyapukan sedikit daripada darah itu pada unjuran di sudut-sudut mazbah tempat kemenyan di dalam Khemah TUHAN. Dia harus menuangkan darah selebihnya di bahagian bawah mazbah tempat membakar korban, yang terletak di hadapan pintu Khemah TUHAN.

8 Imam Agung harus mengambil semua lemak lembu jantan itu, lemak yang membungkus isi perut,

9 buah pinggang dan lemaknya, dan bahagian yang terbaik daripada hati lembu itu.

10 Imam harus membakar lemak itu di atas mazbah bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN, sebagaimana yang dilakukannya pada lemak binatang yang disembelih bagi korban untuk memohon berkat TUHAN.

11 Tetapi dia harus mengambil kulit lembu itu, semua daging, kepala, paha, isi perut termasuk usus lembu itu,

12 lalu membawa semuanya ke luar perkhemahan. Di situ semuanya harus dibakar di atas kayu api di tempat membuang abu, iaitu tempat yang dikhaskan untuk hal itu.

13 Jika segenap umat Israel berdosa dan bersalah kerana melanggar salah satu perintah TUHAN dengan tidak sengaja,

14 maka sebaik sahaja dosa itu diketahui, segenap umat harus mempersembahkan seekor lembu jantan muda bagi korban untuk mengampunkan dosa. Mereka harus membawa lembu itu ke hadapan Khemah TUHAN.

15 Para pemimpin umat harus meletakkan tangan mereka di atas kepala lembu itu, lalu menyembelihnya di situ.

16 Kemudian Imam Agung harus membawa sebahagian daripada darah lembu itu ke dalam Khemah TUHAN.

17 Di situ dia harus mencelupkan jarinya ke dalam darah itu, lalu memercikkan darah itu tujuh kali di hadapan tirai yang memisahkan Bilik Suci.

18 Dia harus menyapukan sedikit daripada darah itu pada unjuran di sudut-sudut mazbah tempat kemenyan yang terletak di dalam Khemah TUHAN, lalu menuangkan darah selebihnya di bahagian bawah mazbah tempat membakar korban, yang terletak di hadapan pintu Khemah.

19 Selepas itu dia harus mengambil semua lemak lembu itu dan membakarnya di atas mazbah.

20 Hal yang dilakukannya pada lembu itu sama seperti yang dilakukannya pada lembu jantan bagi korban untuk mengampunkan dosa. Dengan cara ini, Imam Agung mempersembahkan korban untuk dosa segenap umat, lalu mereka akan diampuni oleh TUHAN.

21 Selepas itu Imam Agung harus membawa lembu itu ke luar perkhemahan dan membakarnya, sebagaimana dia membakar lembu bagi korban untuk mengampunkan dosanya sendiri. Inilah korban untuk mengampunkan dosa bagi segenap umat.

22 Jika seorang pemimpin berdosa dan bersalah kerana melanggar salah satu perintah TUHAN dengan tidak sengaja,

23 sebaik sahaja dia menyedari dosanya, dia harus mempersembahkan seekor kambing jantan yang tidak ada kecacatan.

24 Dia harus meletakkan tangannya di atas kepala kambing itu, lalu menyembelihnya di sebelah utara mazbah, di tempat menyembelih binatang bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Inilah korban untuk mengampunkan dosa.

25 Imam yang bertugas harus mencelupkan jarinya ke dalam darah kambing itu, menyapukan darah itu pada unjuran di sudut-sudut mazbah, lalu menuangkan darah selebihnya di bahagian bawah mazbah.

26 Kemudian dia harus membakar semua lemak kambing itu di atas mazbah, sebagaimana dia membakar lemak binatang yang disembelih bagi korban untuk memohon berkat TUHAN. Demikianlah cara imam mempersembahkan korban untuk mengampunkan dosa seorang pemimpin, lalu pemimpin itu akan diampuni oleh TUHAN.

27 Jika seorang rakyat jelata berdosa dan bersalah kerana melanggar salah satu perintah TUHAN dengan tidak sengaja,

28 sebaik sahaja dia menyedari dosanya, dia harus mempersembahkan seekor kambing betina yang tidak ada kecacatan.

29 Dia harus meletakkan tangannya di atas kepala kambing itu, lalu menyembelihnya di sebelah utara mazbah, di tempat menyembelih binatang bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN.

30 Imam harus mencelupkan jarinya ke dalam darah kambing itu, menyapukan darah itu pada unjuran di sudut-sudut mazbah, lalu menuangkan darah selebihnya di bahagian bawah mazbah.

31 Kemudian dia harus memisahkan semua lemak kambing itu, sebagaimana dia memisahkan lemak binatang yang disembelih bagi korban untuk memohon berkat TUHAN. Selepas itu, dia harus membakar lemak itu di atas mazbah. Bau korban itu menyenangkan hati TUHAN. Demikianlah cara imam mempersembahkan korban untuk mengampunkan dosa orang itu, lalu orang itu akan diampuni oleh TUHAN.

32 Jika seseorang mempersembahkan seekor domba untuk mengampunkan dosanya, domba itu harus betina dan tidak ada kecacatan.

33 Orang itu harus meletakkan tangannya di atas kepala domba itu, lalu menyembelihnya di sebelah utara mazbah, di tempat menyembelih binatang bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN.

34 Imam harus mencelupkan jarinya ke dalam darah domba itu, menyapukan darah itu pada unjuran di sudut-sudut mazbah, lalu menuangkan darah selebihnya di bahagian bawah mazbah.

35 Kemudian dia harus memisahkan semua lemak domba itu, sebagaimana dia memisahkan lemak domba yang disembelih bagi korban untuk memohon berkat TUHAN. Dia harus membakar lemak itu di atas mazbah bersama dengan persembahan makanan yang dipersembahkan kepada TUHAN. Demikianlah cara imam mempersembahkan korban untuk mengampunkan dosa orang itu, lalu orang itu akan diampuni oleh TUHAN.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24 25 26 27