Imamat 10:13-19 BM

13 Makanlah roti itu di tempat yang suci. Roti ini daripada makanan yang sudah dipersembahkan kepada TUHAN; roti ini menjadi bahagian kamu dan anak-anak lelaki kamu. Inilah yang diperintahkan oleh TUHAN kepadaku.

14 Tetapi kamu dan anak-anak kamu, lelaki dan perempuan boleh makan dada binatang yang sudah dipersembahkan sebagai persembahan istimewa serta paha binatang yang dipersembahkan sebagai pemberian istimewa, kerana semua itu adalah untuk para imam. Kamu boleh memakannya di mana sahaja tempat yang tidak najis. Persembahan ini adalah bahagian daripada korban untuk memohon berkat TUHAN, yang dipersembahkan oleh umat Israel. Persembahan itu telah diberikan kepada kamu dan anak-anak kamu sebagai milik kamu.

15 Umat Israel harus membawa paha dan dada binatang itu ketika mereka mempersembahkan lemaknya sebagai persembahan makanan kepada TUHAN. Bahagian ini menjadi hak kamu dan anak-anak kamu selama-lamanya, sebagaimana yang diperintahkan oleh TUHAN.”

16 Apabila Musa bertanya tentang kambing bagi korban untuk mengampunkan dosa, dia mendapati bahawa kambing itu sudah dibakar. Hal itu menyebabkan Musa marah terhadap Eleazar dan Itamar. Musa berkata,

17 “Mengapakah kamu tidak makan korban untuk mengampunkan dosa itu di tempat yang suci? Korban itu sangat suci dan TUHAN sudah memberikannya kepada kamu supaya dosa umat Israel diampunkan.

18 Oleh sebab darah kambing itu tidak dibawa ke dalam Khemah TUHAN, kamu sepatutnya makan korban itu di tempat yang khas, menurut perintahku.”

19 Harun menjawab, “Andaikata aku makan korban untuk mengampunkan dosa itu pada hari ini, adakah hal itu menyenangkan hati TUHAN? Umat Israel mempersembahkan korban untuk mengampunkan dosa mereka, kepada TUHAN pada hari ini, serta membawa korban untuk menyenangkan hati TUHAN, namun perkara yang dahsyat ini berlaku kepada diriku.”