5 Mereka datang dan mengangkat jenazah itu dengan memegang pakaian jenazah itu, lalu pergi ke luar perkhemahan, sebagaimana yang diperintahkan oleh Musa.
6 Selepas itu Musa berkata kepada Harun dan anak-anaknya, Eleazar dan Itamar, “Jangan biarkan rambut kamu kusut, dan jangan koyakkan pakaian kamu sebagai tanda berkabung. Jika kamu berbuat demikian, kamu akan mati dan TUHAN akan murka terhadap segenap umat ini. Tetapi semua orang Israel yang lain boleh berkabung untuk kematian mereka berdua; mereka mati kerana kena api yang diturunkan oleh TUHAN.
7 Sementara ini jangan kamu keluar dari pintu Khemah TUHAN. Jika kamu keluar, kamu akan mati kerana kamu sudah ditahbiskan dengan minyak upacara untuk mengabdikan diri kepada TUHAN.” Mereka pun menurut perintah Musa itu.
8 TUHAN berfirman kepada Harun,
9 “Janganlah engkau dan anak-anakmu masuk ke dalam Khemah TUHAN setelah minum wain ataupun minuman keras. Jika kamu masuk, kamu akan mati. Inilah peraturan yang mesti dipatuhi oleh semua keturunanmu.
10 Kamu mesti tahu membezakan apa yang dikhaskan untuk Allah dan apa yang tidak dikhaskan, dan apa yang tidak najis dengan apa yang najis.
11 Kamu mesti mengajar umat Israel semua hukum yang sudah Aku berikan kepada kamu melalui Musa.”